MALAYSIAKINI
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menimbulkan persoalan 'antara dua darjat' di media sosial kerana didakwa melanggar SOP PKP dengan hadir merayakan Thaipusam di kuil Batu Caves.
Dalam sebuah video tular, Saravanan tanpa pelitup muka dilihat menerima kalungan bunga di kuil Batu Caves oleh pengerusi kuil R Nadarajah, yang dilihat pelitup mukanya pula jatuh ke bahagian dagunya.
Sebagai tambahan, Saravanan kemudian disertai kumpulan peniup serunai ketika dia berjalan di kawasan sekitar.
Nadarajah sebelum ini memberitahu penganut Hindu yang tidak sabar-sabar mahu menyaksikan perarakan pedati Thaipusam dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur ke kuil Batu Caves di Selangor supaya menontonnya secara dalam talian sahaja.
Saravanan memberitahu portal FMT dia telah diundang kerana terlibat dalam membantu kuil itu sejak seminggu yang lalu mengenai pelbagai perkara untuk memastikan Thaipusam dirayakan di kalangan orang ramai.
Jelasnya, segala SOP bersabit lawatan itu telah dipatuhi.
“Saya diberikan kebenaran oleh polis untuk hadir. Semua mereka yang hadir mematuhi SOP Covid-19 yang ketat dan jumlah kehadiran adalah minimum, selaras panduan jawatankuasa kuil.
“Keseluruhan (lawatan) itu juga dipantau oleh pihak berkuasa,” katanya menjelaskan dirinya juga mewakili persatuan penganut Hindu dalam kabinet.
Katanya lagi, sebagai langkah berjaga-jaga kehadirannya ke upacara itu tidak diiringi kakitangan atau ahli keluarganya.
Menjelaskan lanjut, Saravanan berkata dia cuma membuka pelitup mukanya hanya sekejap saja.
“Saya menanggalkan pelitup muka itu hanya seketika untuk menerima kalungan bunga sebagai tanda hormat (kepada pengurusan kuil).
“Selepas itu, saya memakai pelitup muka sepanjang masa,” katanya.
Bagaimanapun, timbalan presiden MIC mengakui kehadiran pemuzik kuil yang mengiringinya bukan satu langkah yang bijak.
"Ia di luar kawalan saya kerana pemain muzik sudahpun berada di sana sebelum ketibaan saya," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan