HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Jika lemah sudah lama UMNO ditalkinkan – Zahid Hamidi

MGF23112020_OWHMG-ZAHID06
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kepimpinan UMNO tidak lemah, malah panji-panjinya terus berkibar dengan semangat dan iltizam baharu, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jika ia lemah, sudah lama parti itu ditalkinkan, iaitu selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika pemimpin UMNO lemah, selain ditalkinkan, sudah lama UMNO ‘dimuziumkan’ dalam gaung paling dalam tanpa seutas tali untuk bangkit semula.

“Jelasnya tidak. UMNO tidak mengalah. Panji-panjinya terus berkibar dengan semangat baharu.

“Pemimpin UMNO di pelbagai peringkat iaitu pusat, negeri, bahagian dan cawangan terus setia, bertahan serta menggasak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baru-baru ini, Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub dilaporkan berkata, langkah keluar parti oleh pemimpin UMNO sebelum ini membuktikan kelemahan presiden dalam kepimpinannya.

Penganalisis politik itu berkata, beliau yakin ahli UMNO mempunyai pandangan yang cukup berbeza dari ahli politik yang lain, kerana mereka yakin parti itu dapat menjadi wadah kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, apabila UMNO ditadbir oleh seorang presiden yang lemah, inilah kali pertama dalam sejarah parti itu, seorang presiden yang tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, biarpun depan mata menyaksikan ramai sahabat perjuangan bertempiaran menyelamatkan diri, tetapi masih ramai pemimpin meneruskan perjuangan berbekalkan iltizam dan semangat kebenaran menentang fitnah kezaliman adu domba tanpa gentar.

“Alhamdulillah, kini UMNO semakin jauh kehadapan. Jauh daripada tebing nan mendukacitakan.

“Terima kasih semua. Perjuangan agama, bangsa dan negara tidak pernah luntur, kerana itu kita tidak goyah dan masih di sini.

“Kita bersama teruskan momentum UMNO. Kita teruskan pelayaran ini. Kepada Allah kita bertawakal,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: