HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2021

FDI jatuh: Pemimpin Umno dakwa PN bertanggungjawab, mahu tindakan tegas diambil

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamad berkata, kementerian yang 
dipertanggungjawabkan mengurus arah tuju ekonomi negara dalam kerajaan PN 
gagal setelah hampir satu tahun berkuasa. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin kanan Umno menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berikutan kejatuhan ketara aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara bagi tahun 2020 sebanyak 68% ke USD 2.5 billion.

Kejatuhan itu adalah yang paling teruk dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara .

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamad berkata, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) semua negara di rantau ini mencatat prestasi lebih baik daripada Malaysia walaupun keseluruhannya FDI jatuh 31%.

FDI Singapura jatuh 37 % kepada USD 58 billion, Indonesia 24% kepada USD 18 billion dan Vietnam 10% kepada USD 14 billion. Bagaimanapun FDI Filipina naik 29 % kepada USD 6.4 billion .

Menurut Jazlan , yang merupakan bekas timbalan menteri dalam negeri semasa pentadbiran BN sebelum ini, adalah jelas semua kementerian yang dipertanggungjawabkan mengurus arah tuju ekonomi negara gagal setelah hampir satu tahun berkuasa .

Kata beliau kerajaan PN tidak berfikir di luar kotak dalam perancagan masa depan ekonomi dan kewangan negara dan “kita kehilangan pelaburan dan juga bakal pelabur”.

Bagi Nur Jazlan adalah nyata “kualiti para menteri PN sangat dipersoalkan. Jika di antara mereka tidak mencapai tahap mereka mesti letak jawatan and beri laluan kepada yang berkemampuan.

“Kami ada ramai dalam Umno yang boleh bekerja dengan lebih baik,” katanya.

Kerajaan katanya, tidak cekap dan bersembunyi di belakang perisytiharan darurat.

Beliau berkata, keadaan itu dan penularan wabak Covid-19 adalah sebabnya Umno sebagai parti mesti menjauhkan diri daripada PN bagi mengelakkan Ahli Parlimennya dihukum pengundi pada pilihan raya umum 15 kelak.

“Dua kali pertukaran kerajaan selepas PRU14 gagal menyuntik keyakinan pelabur asing terhadap masa depan politik dan ekonomi Malaysia,” katanya.

Nur Jazlan yang merupakan seorang akauntan bertauliah memberitahu FMT, ketika sektor pembuatan tertekan dengan pelabur menarik diri atau tidak mahu masuk, sektor peladangan pula menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

“Ketersediaan pekerja akan akhirnya menentukan harga komoditi dan permintaan global.

“Meski pun demikian semua kementerian yang ada seakan-akan hilang punca dan tidak tahu apakah yang harus dilakukan untuk menangani cabaran ini.

“Kita tertekan dari pelbagai sudut, tetapi pemimpn PN tidak mengerti. Fokus mereka hanya untuk bergayut kepada kuasa tanpa mempedulikan apa juga harganya dan penderitaan rakyat,”kata beliau .

Nur Jazlan berkata, jika PN terus dengan trend ini dalam mengurus negara, Malaysia menuju ke arah “malapetaka“ yang akhirnya mengakibatkan kegagalan.

Tiada ulasan: