HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

Fakta sebenar Darurat Kelantan 1977

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Pembentangannya di Parlimen bukan untuk penuhi kehendak Perlembagaan tetapi untuk penuhi kehendak nafsu serakah.

 

BEBERAPA orang pemimpin PAN mendakwa pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 adalah bukti Ordinan Darurat 2021 juga perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Seperti telah berkali-kali dijelaskan, keperluan untuk membentang dan meluluskan Ordinan (mahupun Proklamasi) Darurat di Parlimen terlebih dahulu sebelum ia boleh dikuatkuasakan langsung tidak terdapat di dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum 31 Mei 1960 memang ada peruntukan yang menyebut Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa jika ia tidak dibentang dan diluluskan di Parlimen selepas habis tempoh dua bulan Proklamasi itu dikeluarkan tetapi peruntukan ini sudah tiada selepas 31 Mei 1960.

Sebelum 15 Mei 1981 juga memang ada peruntukan menghendaki Yang di-Pertuan Agong memanggil Parlimen dengan seberapa segera jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang tetapi peruntukan ini sudah dimansuhkan selepas 15 Mei 1981.

Tesis PhD Dato’ Dr Cyrus V. Das mengenai darurat di Malaysia dari Brunel University juga menyatakan bahawa ketiadaan tempoh spesifik dalam mana sesuatu Proklamasi Darurat perlu dibentangkan di Parlimen menyebabkan kerajaan tidak perlu segera berbuat demikian.

Perlu diketahui bahawa Darurat Kelantan 1977 adalah Darurat Politik yang berpunca daripada tindakan 20 ADUN PAS Kelantan meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Mohamad Nasir selaku Menteri Besar Kelantan dalam sidang DUN pada 15 Oktober 1977.

Datuk Mohamad Nasir adalah pemimpin PAS yang dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan atas kehendak Umno dan, walaupun PAS dan Umno adalah rakan gabungan dalam BN, 14 ADUN Umno (dan MCA) Kelantan tidak menyokong usul undi tidak percaya tersebut.

Saya sendiri pernah bertemu dengan beberapa orang berpangkat Tan Sri dan Datuk yang mengakui, dan berbangga, mengenai penglibatan mereka di dalam usaha untuk cuba mencetuskan suasana huru-hara di Kelantan ekoran penggulingan Datuk Mohamad Nasir.

Tiada ancaman serius wujud terhadap keselamatan di Kelantan di mana tiada sebarang kematian atau kecederaan serius dilaporkan, malah perintah berkurung pun terhad di Bandar Kota Bharu pada 19 Oktober 1977 dan di Kubang Kerian pada 22 Oktober 1977 sahaja.

Begitupun, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku TPM pada waktu itu telah memaklumkan kepada PAS Kelantan, yang sedang berusaha membentuk kerajaan baru, pada 25 Oktober 1977 bahawa Kelantan akan didaruratkan dan ini beliau umumkan terus pada 4 November 1977.

Ekoran pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad ini, mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 6 November 1977 mengarahkan semua ahli Jemaah Menterinya meletakkan jawatan bagi membolehkan mereka menentangnya di Kabinet dan di Parlimen pada 8 November 1977.

Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, sewaktu menggulung perbahasan ke atas rang undang-undang ini pada jam 1:53 pagi 9 November 1977 menyebut, mengikut Perlembagaan, ia tidak perlu dibawa ke Parlimen tetapi ia tetap dibawa kononnya bagi menghormati demokrasi.

Bila ia dibawa untuk diundi secara belah bahagi menjelang jam 2:45 pagi 9 November 1977, maka terzahirlah nama Ahli-ahli Parlimen PAS berikut sebagai mereka yang tidak bersetuju, iaitu:

1. Datuk Haji Mohd. Asri bin Haji Muda (Nilam Puri).
2. Datuk Haji Abu Bakar bin Umar (Kota Setar).
3. Tuan Mustapha @ Hassan bin Ali (Kuala Terengganu).
4. Tuan Mohd. Zahari bin Awang (Kuala Krai).
5. Tuan Haji Abdul Wahab bin Yunus (Dungun).
6. Tengku Zaid Al-Haj bin Tengku Ahmad (Pasir Mas).
7. Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Pengkalan Chepa).
8. Tuan Haji Mohd. Zain bin Abdullah (Bachok).
9. Wan Sulaiman bin Haji Ibrahim (Pasir Puteh).
10. Tuan Haji Ahmad Shukri bin Haji Abdul Shukor (Padang Terap).
11. Tuan Haji Zakaria bin Haji Ismail (Rantau Panjang).

(Tuan Haji Yusof Rawa @ Haji Yusof Bin Haji Abdullah (Ulu Muda), tidak hadir).

Setelah itu, PAS tiba-tiba dihadapkan dengan arahan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang ini dari menjadi ahli PAS kerana ia dikatakan melanggar Fasal 14 Perlembagaan BN.

Ayat rasmi lebih muluk yang dikemukakan oleh Umno pada waktu ini adalah berbunyi ‘parti-parti anggota BN yang ahlinya didapati menentang arahan party whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin dengan memecat mereka itu dari menjadi ahli-ahli partinya’.

Logikkah untuk Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memecat keahlian Datuk Haji Mohd. Asri bin Haji Muda yang merupakan Presidennya, atau Datuk Haji Abu Bakar bin Umar yang merupakan Naib Presidennya, atau Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang merupakan Ketua Dewan Ulamaknya, atau Tuan Mustapha @ Hassan bin Ali yang merupakan Ketua Dewan Pemudanya?

Dan inilah yang diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 7 Disember 1977, iaitu PAS tidak sanggup memecat ‘orang-orang yang akan menentukan masa depan PAS’ ini, PAS sedia ‘menerima apa saja tindakan dari Dewan Tertinggi BN’, tetapi PAS berharap ‘sebarang keputusan hendaklah (diasaskan kepada) kebaikan perpaduan orang-orang Melayu sendiri’.

Setelah menerima jawapan PAS, Dewan Tertinggi BN sekali lagi bermesyuarat pada 13 Disember 1977 dengan agenda ‘memecat PAS dari BN’ tetapi disebabkan pemimpin PAS yang dijangka tidak hadir turut hadir maka agenda ini diubah menjadi lebih muluk, iaitu ‘memberi tempoh kepada parti yang menentang party whip untuk memecat ahli-ahli partinya’.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 ini pada akhirnya memutuskan untuk mengarahkan PAS untuk memecat 11 Ahli Parlimennya yang mengundi menentang rang undang-undang ini dari menjadi ahli PAS sebelum 17 Disember 1977, dan jika PAS gagal berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977 maka PAS akan terpecat dengan sendiri dari BN.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Disember 1977, setelah membincangkan perkara ini, pun mengutuskan sepucuk surat kepada Setiausaha Agung BN berbunyi begini:

‘Setelah memerhati dan memahami bentuk dan isi keputusan Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977, jelaslah menunjukkan bahawa hasrat pemimpin-pemimpin Umno untuk menyingkirkan PAS dari BN terbukti dengan nyatanya. Adapun tempoh yang diberikan itu tidaklah memberi erti apa-apa kerana PAS telah pun menyatakan sikap tegasnya tidak bersedia memecat ahli-ahlinya seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 di mana dapat difahami bersama bahawa adalah tidak wajar bagi sesebuah parti politik untuk mengambil tindakan yang sedemikian rupa. Oleh itu, sesuai dengan semangat keputusan Dewan Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 dan sikap tegas PAS itu, maka tidaklah mustahak lagi bagi BN menunggu tempoh seperti yang ditetapkan, dan dengan demikian pada hakikatnya PAS telah pun dipecat dari BN mulai tarikh 13 Disember 1977 itu juga’.

Pada akhirnya, tidakkah kesemua urutan peristiwa ini menunjukkan bahawa pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 sebenarnya bukanlah bukti kedemokratikan pemimpin Umno pada waktu itu tetapi adalah bukti kejahatan mereka yang mahu menggunakannya sebagai alasan untuk menendang PAS keluar dari BN?

Pembentangan dan kelulusan Akta Darurat (Kelantan) di Parlimen pada 8 November 1977 ini juga sebenarnya bukanlah untuk memenuhi kehendak mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, tetapi adalah untuk memenuhi kehendak nafsu serakah untuk berkuasa pemimpin Umno pada waktu itu semata-mata.  – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: