HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

Biar mahkamah tentukan Annuar langgar SOP atau tidak - MP

MALAYASIAKINI

Malaysiakini

Isu sama ada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa melanggar operasi standard (SOP) Covid-19 ataupun tidak sepatutnya diputuskan mahkamah, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Annuar yang mempertahankan gambar yang menunjukkan dia bersenam bersama dua individu lain sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0).

Menjawab dakwaan melanggar SOP, Annuar semalam berkata gambarnya bersama bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar selepas bertemu secara "kebetulan".

"Jika itu penjelasannya, maka jelaskan kepada majistret. Dakwanya (Annuar) di mahkamah dan biarkan dia jelaskannya (di mahkamah)," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Menurut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), kegiatan berjoging setakat ini hanya dibenarkan di sekitar kawasan rumah dengan berseorangan atau berdua sahaja.

Annuar yang merupakan ahli Parlimen Ketereh memuat naik gambar itu di Twitter dua hari lalu.

Susulan itu, dia dikecam warganet yang mendakwanya melanggar SOP ketika PKP.

Semalam, Annuar dalam penjelasannya berkata ketiga-tiga mereka pada mulanya berjalan berasingan dari rumah masing-masing dan secara kebetulan bertemu.

Dalam pada itu, Lim berkata ramai rakyat biasa telah dikenakan denda atau tindakan dan tiada peluang untuk menjelaskan diri mereka.

Katanya, tidak boleh ada layanan berat sebelah antara menteri dan rakyat biasa, justeru polis tidak boleh "menutup mata" terhadap dakwaan pelanggaran oleh Annuar.

“Rakyat layak mendapat penjelasan daripada polis mengenai sama ada Annuar melanggar SOP ataupun tidak,” katanya.

Mereka yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000. Sekiranya dihadapkan ke mahkamah, pesalah juga boleh dipenjara hingga enam bulan.

Lim juga mendakwa pihak berkuasa sering memberikan alasan terhadap pelanggaran SOP melibatkan VIP, dengan membangkitkan denda RM1,000 terhadap seorang wanita kerana tidak memakai pelitup muka ketika keluar daripada keretanya di Segamat, Johor pada 20 Januari lalu.

Pada Ogos lalu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali didenda RM1,000 kerana gagal menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara memutuskan “tiada tindakan lanjut” untuk kes itu.

Pada April lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali turut didakwa di mahkamah dan didenda RM1,000 kerana melanggar PKP pertama yang dilaksanakan tahun lalu

Tiada ulasan: