HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Umno: Dari singa gagah kepada tikus pemohon simpati, kata penganalisis

Oleh BORHAN AHMAD


Umno akan bertukar dari singa yang gagah kepada tikus yang memohon simpati menjelang pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik, Dr Prof Dr Mohd Tajuddin Mohs Rasdi (gambar) dalam tulisannya.
Ini kerana, tindakan Umno yang bermain-main dengan tindakannya mahu menyokong atau menarik balik sokongannya kepada Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya akan membunuh parti itu sendiri.

“Dengan menggunakan kuasa darurat, PN telah membeli masa yang sangat diperlukan untuk membeli ketua-ketua bahagian Umno untuk menyokongnya.

“Sebagaimana yang saya jangkakan sebelum ini, tekanan agar Zahid meletakkan jawatan semakin bergema,” tulis beliau melalui Sinchew semalam.

Bagi orang Umno, kata Prof Tajuddin, jeritan “Menjaga maruah Melayu dan Islam” boleh dibeli dengan wang, projek, darjah kebesaran, kedudukan dan Mercedes sahaja.

“Dengan Umno di bawah ketiaknya, Bersatu boleh mengawal bilangan besar kerusi Parlimen dengan Umno yang kedua tetapi mempunyai kerusi yang hanya sama dengan Pas sahaja.

“Umno yang merupakan singa sebelum ini akan menjadi tikus peminta sedekah sahaja,” kata beliau lagi.

Prof Tajuddin juga menyalahkan apa ang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak boleh bekerjasama untuk berbincang dan membentuk kerajaan.

“Pertelagahan bodoh PH telah menyebabkan kerja-kerja PN untuk meyakinkan Yang Dipertuan Agong lebih mudah.

“Siapa yang mempunyai pemikiran yang betul akan memberikan kepercayaan kepada Anwar untuk memerintah?” tanya beliau lagi dengan apa yang berlaku dalam PH sekarang.

“Selagi Anwar, Tun M dan Shafie bergaduh seumpama anjing merebut bayang-bayang tulang di dalam air, kesemua mereka akan lemas bersama-sama,” kata beliau lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau maramalkan, jika keadaan ini tidak berubah, PN akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang. MALAYSIA DATELINE.

Tiada ulasan: