KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin perlu memecat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali kerana gagal menjalankan tugasnya dengan baik sebagai menteri.
Selain itu katanya, Muhyiddin perlu menggantikan Azmin dengan seseorang yang lebih mementingkan ekonomi negara berbanding agenda peribadi.
”Saya melihat hanya ada dua cara bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh melonjakkan sedikit ekonomi negara, iaitu sama ada Azmin meletak jawatan selepas gagal selaku menteri kanan (Ekonomi) atau Muhyiddin memecat beliau dan menggantikannya dengan seseorang yang lebih mementingkan ekonomi negara berbanding agenda peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Razeef berkata, kegagalan Azmin menangani krisis ekonomi negara
susulan penularan wabak Covid-19 jelas membuktikan beliau tidak mampu
dan layak memegang jawatan menteri berkaitan ekonomi.
”Dalam situasi paling teruk dihadapi oleh Muhyiddin bagi
mempertahankan kerajaan PN yang hilang majoriti sekali gus berdepan
cabaran pandemik Covid-19, beliau dibantu oleh Azmin yang sememangnya
gagal.
“Ini menjadikan pentadbiran Muhyiddin dilihat semakin teruk, bukan sahaja di mata rakyat ,malah di mata pelabur dari luar negara.
”Baru-baru ini Pemuda Umno melalui ketuanya mendesak Azmin untuk tampil menjelaskan tindakan segera yang diambil kerajaan bagi menangani kejatuhan terus pelaburan langsung asing (FDI) negara selepas merosot sehingga 68% iaitu jauh lebih teruk berbanding negara Asean lain.
”Banyak negara di dunia yang menghadapi krisis Covid-19 yang jauh lebih teruk daripada Malaysia, namun berjaya menghadapi krisis ekonomi dengan baik.
“Malah ia tidak menghilangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelabur tidak yakin dengan kemampuan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dengan kerajaan yang tidak kukuh kerana memerintah tanpa majoriti.
Katanya, pelabur hilang keyakinan sejak PN merampas kuasa dan kerajaan dalam mengurus ekonomi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan mereka menarik “hand brake” daripada melabur di negara ini.
”Ini jelas membuktikan Azmin tidak layak memegang jawatan menteri, apatah lagi berkaitan ekonomi.
”Beliau dilihat tidak mampu membawa pelaburan, apatah lagi mencari inisiatif bagi membangunkan ekonomi negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan