HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2021

Jangan terperangkap dengan DAP yang terdesak

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
 

INISIATIF menggerakkan politik perpaduan yang diusahakan oleh semua pimpinan Melayu Islam mutakhir ini menurut Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang laksana penanaman benih yang baru tumbuh dengan subur.

Sudah pastilah bagi memastikan ia tegak dan tegap seterusnya berimbun dan mengeluarkan hasil memerlukan penjagaan yang rapi. Ia bukan mudah dan pasti melalui pelbagai cabaran dan dugaan tetapi jika berjaya ia bakal menjamin nasib dan masa depan yang baik buat ummah dan negara. 

Lantas semua pihak berkepentingan perlu bersungguh dan serius dalam mengurus dan mengusahakannya. Umat Melayu Islam dalam ratusan tahun sejarahnya lebih mudah berpecah dan tidak pernah bersatu kukuh. Jika inisiatif ini berjaya kita jayakan maka buat pertama kali dalam sejarah kuasa politik Melayu disatukan dan bakal mencorakkan landskap baru politik Malaysia yang sudah tentu dinanti-nantikan oleh semua.

Lantas semua pihak perlu matang dan berjiwa besar dalam menentukan kejayaannya. Yang mahu kita kejar adalah memartabatkan agama, bangsa dan negara, tidak ada yang lebih mulia dari itu. Justeru kita perlu sedar dalam meniti jalan kejayaan ini kita akan dapati ada sahaja perkara yang kita akan berbeza dari masa ke semasa. Jika perbezaan itu melibatkan perkara-perkara cabang, janganlah jadikan ia penghalang ke arah cita-cita mulia kita yang besar itu.

Isu belanjawan, isu KWSP, isu Darurat, isu peruntukkan contohnya adalah isu-isu cabang yang seharusnya kita urus dengan teliti, bermesyuarah ikut adab dan akhlak mulia, meraikan pandangan, menghormati perbezaan. 

Tidak perlu sampai bertelagah sehingga memperjudikan perkara pokok yang telah kita sepakati bersama. Perkara pokok yang merupakan matlamat bersama yang kita dukung dan tatang adalah membina kekuatan politik Melayu Islam atas penyatuan ummah yang dituntut agama tercinta. Jika kita saling faham akan perkara ini dan memeliharanya dengan baik bukan mudah musuh mahu menggagalkan inisiatif kita.

Ingat pihak musuh politik khasnya PH dan DAP mencari-cari ruang dan peluang untuk menggagalkan usaha kita. Bagi mereka jika umat Melayu Islam bersatu di bawah satu panji-panji maka hancur luluhlah cita-cita mereka, PKR, PAN dan DAP akan susut pengaruh dan mungkin ada di antaranya yang luput pupus sebagaimana parti-parti politik lain sebelum ini. 

Sedarlah inisiatif keramat kita ini sentiasa berhadapan dan terdedah pada ancaman musuh yang kesakitan dan kemaruk sejak hilang kuasa. Kita akan berhadapan dengan pelbagai bentuk serangan dan perang saraf dari mereka, menghasut dan mengadu-domba sesama kita. Tiada cara lain untuk menggagalkan kita selain melaga-lagakan sesama kita hingga kembali berpecah.

Jika kita lalai dan terperangkap atau termakan dengan kerja-kerja jahat mereka, waspadalah, kita akan mengulangi kesilapan besar kita sebagaimana dalam PRU ke-14 lalu, berpecah, bersaing-sesama sendiri, akibatnya tergadai kemuliaan agama dan bangsa. Hina kita di bumi sendiri entah sampai bila.

Baru-baru ini contohnya seorang pemimpin DAP, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dalam kenyataannya kepada akhbar Cina Sin Chew Daily menyatakan bahawa tidak mustahil DAP dan Umno akan berkerjasama oleh itu para pengundi perlu membuat persiapan mental ke arah itu.

Kata beliau lagi ‘nothing is impossible in politics’ yakni tiada yang mustahil dalam politik, kiranya Umno memilih jalan kesederhanaan maka tidak mustahil DAP bersedia berkerjasama dengannya. Lontaran jahat ini jika dipercayai bulat-bulat sudah pasti akan menimbulkan syak wasangka dan sikap curiga mencurigai sesama Muafakat Nasional (MN) dan semua pihak yang mengusahakan politik penyatuan yang disebutkan tadi.

Berkerjasama dengan DAP sedangkan DAP lah punca kebangkitan umat Melayu sejak PH yang didominasi DAP berkuasa adalah sesuatu yang hampir mustahil dan tidak masuk akal. Orang-orang Melayu khasnya cukup terjejas kehidupannya sepanjang 22 bulan pemerintahan PH angkara DAP, tiba-tiba tergamak ada yang mahu berkerjasama dengannya.

PAS dahulu berpisah dengan DAP kerana ia berani mencabar dasar dan prinsip perjuangan Islam yang PAS bawa. Umno juga telah luluskan sikap menolak DAP lantaran ancaman politik yang mereka bawa terhadap masa depan umat Melayu. Jadi mengapa Ng berani mengeluarkan kenyataan sedemikian? 

Sudah pasti tidak lain kerana mahu menggagalkan penyatuan kuasa politik Melayu yang sedang diusahakan. Sesungguhnya bukan sahaja PKR dan PAN, malah DAP juga akan terkesan apabila umat Melayu bersatu. Mereka bimbang apabila para pengundi Melayu hanya memihak kepada kuasa politik baru ini, maka tatkala itu bukan sahaja kebanyakkan calon-calon atau kerusi-kerusi Melayu PKR dan PAN yang akan kecundang malah kerusi-kerusi mereka yang kritikal juga bakal terjejas.

Ini termasuklah kerusi Ng sendiri di DUN Sekinchan dalam Parlimen Sungai Besar di Selangor yang beliau menangi hanya dengan 493 undi. Dengan perkembangan semasa dan kerusi ini yang bilangan pengundinya telah bertambah melebihi 50 peratus Melayu tidak mustahil seorang calon Melayu Islam dari persepakatan bersama tadi bakal menamatkan karier politiknya yang sekarang sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor.

Demikian juga di DUN Dusun Tua dalam Parlimen Hulu Langat di Selangor, yang kini mempunyai peratusan pengundi Melayu melebihi 60 peratus, tidak mustahil calon DAP di sana juga akan tewas.

Ini juga akan berlaku di beberapa negeri lain termasuklah beberapa kerusi Parlimen di kawasan campuran yang DAP berjaya bertenggek lantaran perpecahan umat Melayu dalam PRU lalu. Kini dengan kekuatan penyatuan ini, kesemua mereka dalam PH akan menghadapi nasib yang tidak menentu.

Kerana itu penting benih yang tumbuh subur ini sebagaimana dinyatakan Presiden PAS itu dipupuk dan dijaga dengan baik dan penuh kasih-sayang. Biar ia tumbuh segar memayungi umat Melayu dan rakyat Malaysia agar negara ini sentiasa diterajui golongan majoriti yang mampu beri keadilan dan kesejahteraan buat semua.

Ambil iktibar dari betapa ruginya umat Melayu dahulu apabila kita berpecah dan bersaing sesama sendiri, akibatnya cita-cita DAP sekian lama terkabul apabila kaduk berjaya naik junjung.

Umat Islam gemilang dan terbilang apabila berjaya disatukan di zaman Rasulullah S.A.W dahulu sehingga Islam dihormati dan menjadi tamadun yang dikagumi. Jangan persiakan apa yang telah ditunjuk dan dirintis Baginda, bersatulah semoga bumi dipijak kekal milik kita.  – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: