HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Dr M arah saya elak prosiding mahkamah terbuka kes Zakir Naik, kata Tommy Thomas

Bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya mendakwa tiada negara mahu 
menerima Zakir Naik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata Dr Mahathir Mohamad mengarahkannya mengelak sebarang prosiding mahkamah terbuka dalam usaha mengekstradisi penceramah kontroversi, Zakir Naik.

Thomas berkata, beliau menemui Mahathir yang ketika itu perdana menteri untuk memberi taklimat berhubung isu Naik sekitar 2018.

Sebelum itu, beliau menemui Pesuruhjaya Tinggi India Shri Mridul Kumar yang menegaskan negara itu mahu Malaysia mengusir Naik dari sini.

“Beliau bersetuju memulakan prosiding ekstradisi terhadap Naik di mahkamah kita mungkin mencetuskan ketegangan.

“Saya turut membincangkan perkara itu dengan Tun (Mahathir) dan beliau juga bersetuju tindakan mahkamah perlu dielak kerana itulah yang dikehendaki Naik, supaya dapat digunakan sebagai platform untuk menyebarkan kata-kata hasutannya,” kata Thomas dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Beliau turut mencadangkan Naik diusir dari Malaysia dan mencari sendiri negara lain untuk didiami selain India.

Bagaimanapun, katanya, bekas perdana menteri tidak bersetuju dengan penyelesaian itu sebaliknya mengarahkannya membiarkan perkara itu kepada Mahathir.

“Selepas itu bila isu Naik dibangkitkan, respons beliau sama iaitu tiada negara yang mahu menerima penceramah itu,” katanya.

Thomas turut mendakwa berbincang dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengenai isu itu, yang memaklumkan polis juga tidak mahu Naik berada di Malaysia.

“Beliau berkata tiada negara Islam lain mahu menerima Naik. Saya menyebut beberapa negara, namun beliau berkata semuanya menolak Naik,” katanya.

Thomas berkata, beliau hairan kenapa nasihatnya mengenai Naik tidak diterima Mahathir, malah menganggap itu turut memberi kesan politik terhadap Pakatan Harapan (PH).

Tiada ulasan: