HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2021

Fokus selamat negara, bukan ratib kuasa.

HARAKAH DAILY
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: PAS mengkritik tindakan pembangkang yang masih bermain politik kuasa dan tidak mengendahkan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua pihak perlu fokus kepada usaha untuk menyelamatkan negara bukan meratib kuasa.

“Mereka sepatutnya malu kerana banyak pihak termasuk Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri mencemar duli membantu rakyat yang berhadapan dengan situasi getir banjir dan pandemik Covid-19.

Advertisement

“Proklamasi darurat memberi ruang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan memberi sepenuh tumpuan untuk melandaikan kes dan memitigasi risiko Covid-19, mengukuhkan ekonomi serta mensejahterakan kehidupan rakyat,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Selain itu katanya, proklamasi darurat diwartakan bagi memberikan kuasa kepada kerajaan untuk menggunakan sumber yang luas di negara.

“Antaranya mengambil alih tanah sementara, mengarahkan program imunisasi dan pertambahan kuasa tentera.

“Proklamasi darurat bukan mengekang aktiviti ekonomi, respons pasaran masih baik malah boleh beroperasi lebih baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada pihak Istana Negara memohon pertimbangan Yang di-Pertuan Agong menilai semula kewajaran pengisytiharan darurat, baru-baru ini.

Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menyeru ahli-ahli parlimen bertindak sedemikian bagi membantah titah Yang di-Pertuan Agong berhubung proklamasi darurat tersebut.

Sehubungan dengan itu, Anwar juga didakwa ingin mencabar titah baginda berkaitan proklamasi darurat di mahkamah. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: