HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2021

‘Fikir darurat bermotif politik, pandangan itu salah’

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menangani pandemik Covid-19 di negara ini tidak seharusnya dijadikan isu kerana Malaysia bukan satu-satunya negara yang melaksanakan perintah itu, kata pakar undang-undang Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah.

Beliau berkata negara lain seperti New Zealand, Jepun, Australia, Perancis, Finland dan Indonesia turut mengambil langkah sama.

Peguam kanan itu berkata walaupun ada yang berpendapat ia bertentangan dengan prinsip demokrasi, keperluan untuk menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan.

“Pada pendapat saya, pengisytiharan itu perlu kerana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak lagi memadai untuk membendung penularan virus yang semakin buruk kerana akta itu memerlukan prosedur yang mungkin memakan masa dan keputusannya melibatkan perbincangan yang panjang.

“Ia tidak menyediakan remedi yang cepat dan efisien. Pengisytiharan darurat adalah penting. Sebagai contoh, dengan deklarasi perintah itu, hospital swasta kini boleh diarahkan mengambil kes-kes Covid-19. Ini hanyalah satu contoh pihak eksekutif boleh memberi arahan tanpa memerlukan proses birokrasi,” katanya kepada Bernama.

“Dalam keadaan sekarang apabila negara berhadapan dengan pandemik yang semakin parah, keputusan perlu dibuat serta-merta. Mereka yang fikir bahawa darurat ini bermotifkan politik, pandangan mereka itu adalah salah. Malah, ia dilihat mencabar kuasa Agong yang secara jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Berkongsi sentimen yang sama, peguam Muhammad Akram Abdul Aziz berkata kes Covid-19 meningkat setiap hari kebelakangan ini, sekiranya pengisytiharan darurat boleh menstabilkan keadaan politik semasa di Malaysia sambil menangani kes-kes, maka ia merupakan langkah yang baik.

“Bagaimanapun, ia adalah sebahagian daripada prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti dinyatakan dalam Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan. Ia mungkin menjadi isu daripada perspektif ahli politik tempatan, kerana ada yang menganggap proklamasi darurat ini adalah cara melindungi kerajaan sedia ada berbanding untuk membendung peningkatan kes Covid-19.

“Pada masa ini, orang ramai masih menjalankan kehidupan harian seperti biasa (semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan), jadi dapat dikatakan bahawa proklamasi darurat bukanlah masalah kepada kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, semasa tempoh darurat ini semua Ahli Parlimen perlu mengutamakan rakyat berbanding isu lain.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menggesa kerajaan menggunakan kuasanya untuk mengarahkan institusi kewangan berhenti mengejar penghutang sekurang-kurangnya sehingga darurat ini tamat.

“Di bawah ordinan darurat, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan hotel atau bangunan lain untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin. Kaedah sama juga perlu digunakan kepada bank-bank agar orang ramai dapat melihat manfaat daripada perintah darurat,” katanya.

Pada 12 Jan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat yang berkuat kuasa hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19 yang semakin serius di Malaysia. – BERNAMA

Tiada ulasan: