HARAKAH DAILY
ALOR SETAR: PAS dan kerajaan bergerak seiring dan tidak sesekali terpedaya dengan permainan “nakal” pihak tidak bertanggungjawab.
Demikian
ulas Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahaya, berikutan
tularnya poster kononnya jawatan Menteri Besar Kedah akan diambil alih
oleh orang lain.
“Prestasi beliau (MB Kedah) terbaik. PAS Kedah berpuas hati dengan pimpinannya.
“Jauh lebih baik dari Pakatan Harapan (PH) 22 bulan dahulu,” jelas Ustaz Ahmad kepada Harakahdaily, hari ini.
Sebaliknya, rakyat Kedah berbangga dengan prestasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menyelesaikan banyak perkara untuk pembangunan negeri itu.
“Rakyat, pimpinan kerajaan, PAS dan PN tidak terpedaya dengan permainan seumpama ini,” tambah Ahli Dewan Negara itu lagi.
Baru-baru ini, laporan portal Malaysia Dateline bertajuk “Takiyuddin disebut bakal ganti Sanusi sebagai MB Kedah” dipetik dari sumber tanpa dinamakan bahawa ada usaha sedang dibuat bagi menggantikan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan.
Sumber itu berkata, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS Pusat menafikan perkara itu.
“Pihak PAS khususnya PAS Pusat amat berpuas hati dengan prestasi dan kerjasama yang ditunjukkan oleh Sanusi,” kata Takiyuddin seperti dipetik dari media tempatan berkaitan hal terbabit. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan