HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Januari 2021

Pemuda UMNO tidak sebelahi mana-mana kem - Asyraf Wajdi

Bernama
Pemuda UMNO tidak sebelahi mana-mana kem - Asyraf Wajdi
UMNO akan memastikan parti politik utama di Malaysia itu tidak 
berpecah, kata ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Bernama
 
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO berpendirian tidak akan menyebelahi mana-mana pihak di dalam UMNO yang didakwa terbahagi kepada dua kem, sebaliknya akan memastikan parti politik utama di Malaysia itu tidak berpecah, kata ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
 
"Kita tidak berada di mana-mana kluster (kem) tetapi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, kita membuat penetapan kita sentiasa memastikan institusi parti tidak boleh berpecah dan dilihat berpecah," katanya ringkas pada program bual bicara Minda Profesor Negara: Bicara Anak Muda mengenai "Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita" menerusi laman Facebook rasmi Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator program itu, Felo MPN Dr Muhammad Asri Mohd Ali yang mendakwa wujud dua kem dalam UMNO iaitu "Mahkamah" dan "Kabinet", serta sayap pemuda itu berpihak kepada siapa.
 
Beberapa pemimpin UMNO telah didakwa di mahkamah, antaranya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sementara sebahagian daripada pemimpin parti itu yang tidak mempunyai kes di mahkamah menganggotai Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional.
 
Terdahulu, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa dalam konteks Pergerakan Pemuda UMNO, sejak awal lagi sayap itu mengambil pendekatan dan berperanan sebagai semak dan imbang dalam kerajaan hari ini.
 
"Apabila kita berada dalam kerajaan, sudah tentulah suasananya berbeza dan bagi Pemuda (UMNO), bagi saya sendiri, saya mengambil pendekatan dan pendirian untuk tidak menerima apa juga jawatan kerana pada saya penting dalam tempoh yang ada sebagai mewakili suara anak muda dan suara rakyat.
 
Pergerakan Pemuda UMNO mesti sentiasa memainkan peranan sebagai kumpulan pengimbang terutamanya apabila isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat, itu perlu disuarakan," katanya.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mahu didaftarkan sebagai sebuah parti politik masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan besar parti politik sekiranya ia berjaya didaftarkan.
 
"Sejujurnya saya rasa terlalu awal untuk kita tentukan (pilihan gabungan) kerana politik berubah pada bila-bila masa. Tidak pernah kita jangkakan Sheraton (Langkah Sheraton) berlaku, ia berlaku.
 
Sekarang ada perbincangan tentang penjajaran politik baharu, tiada siapa tahu tetapi sejujurnya bagi diri saya, saya nak fokus kepada isu-isu rakyat. Kalau nak tukar kerajaan, nak fokus tukar PN (Perikatan Nasional), itu bukan fokus saya," kata Syed Saddiq.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Muhammad Asri berhubung kecenderungan MUDA kepada mana-mana gabungan besar parti politik sekiranya MUDA berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
 
Jabatan Peguam Negara pada 25 Jan, membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Syed Saddiq serta 12 individu bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang menolak permohonan mereka untuk mendaftarkan (MUDA) sebagai sebuah parti politik.-- BERNAMA

Tiada ulasan: