HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Pemimpin Umno, DAP dan PKR sebulat suara selar Muhyiddin dalam satu forum

Staff Writers

Ketiga-tiga pemimpin bertegas Parlimen mesti bersidang semasa darurat supaya Muhyiddin dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan sebagai perdana menteri. 

 Dari kiri: Veteran Umno Kamal Amir, Abdul Aziz Bari (DAP) and Abdullah Sani (PKR).

Pemimpin daripada Umno, DAP dan PKR dilihat sebulat suara ketika program diskusi malam tadi, dalam mempersoalkan legitimasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan nasihatnya kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Dalam program yang disiarkan secara dalam talian, Kamal Amir, seorang veteran Umno yang pernah menjadi exco Pemuda pada 1980-an, Abdul Aziz Bari dari DAP dan Abdullah Sani dari PKR bertegas Parlimen mesti bersidang semasa darurat supaya Muhyiddin dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan sebagai perdana menteri.

“Rakyat berkeyakinan bahawa dia sewaktu menasihat Yang di-Pertuan Agong, (dia) tidak mempunyai keabsahan, tetapi keabsahan beliau itu tidak boleh dicabar, kerana tak ada (sidang Parlimen),” kata Kamal.

“Ya, saya bersetuju,” kata Aziz yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Agong hanya perlu mendengar nasihat daripada kerajaan yang mempunyai legitimasi,” katanya.

Aziz adalah antara tiga Adun Pakatan Harapan (PH) yang memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Muhyiddin menasihatkan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Bagaimanapun pada Oktober lepas, pensyarah undang-undang yang menjadi ahli politik itu berkata, keputusan Agong adalah muktamad selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah enggan menggunakan kuasanya untuk mengisytiharkan darurat ketika mula-mula dicadangkan.

Sebelum ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim menggesa ahli-ahli Parlimen untuk menulis warkah kepada Agong untuk membatalkan darurat, tetapi kini menukar kenyataannya, mengatakan hanya mempersoalkan nasihat Muhyiddin termasuk mendesak supaya Parlimen bersidang.

Seorang lagi panel, Abdullah yang juga ahli Parlimen Kapar menyelar kerajaan kerana melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan aktiviti perniagaan dihadkan, sebagai usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

“Kita sebenarnya menyekat proses ekonomi itu berkembang. Inilah yang saya lihat kerajaan hari ini gagal melaksanakan tugas mereka dan membiarkan derita rakyat terutama sekali pembuangan pekerjaan berterusan.

“Kita lihat pada hari ini, orang terpaksa mencuri untuk makan, orang tak ada makan,” dakwa Abdullah.

Kamal bersetuju dengan Abdullah mengatakan kerajaan “berselindung di sebalik undang-undang untuk melindungi ketidakmampuan mentadbir”.

Semasa forum itu moderator menyampuk, mengatakan forum itu sangat mesra dan memperlihatkan persetujuan antara Umno dan DAP.

“Dari segi idea, nampak makin selari,” katanya.

Aziz kemudiannya menuduh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tersilap tafsir undang-undang apabila menyekat beberapa percubaan untuk menggulingkan Muhyiddin di Parlimen.

“Di Perak, entah macam mana ada speaker yang bukan daripada kalangan undang-undang, tapi lebih tahu, lebih jujur dari segi undang-undang berbanding speaker Dewan Rakyat yang berkasutkan peguam,” kata Aziz.

Sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada Mac tahun lepas, Muhyiddin berjaya melepasi dua pengundian kritikal yang mampu menyebabkannya perlu meletakkan jawatan sekiranya tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Pada Julai, kerajaan menang pengundian di Dewan Rakyat untuk menggantikan speaker dengan Azhar dan akhir tahun lepas, beberapa percubaan untuk mengalahkan Muhyiddin dalam pengundian Belanjawan 2021 menyaksikan kemenangan blok kerajaan.

Sementara Abdullah yang merupakan pengikut setia Anwar menolak dakwaan mempersoalkan darurat sebagai penderhakaan kepada Agong.

Sebaliknya, Abdullah memaki hamun pihak yang mempersoalkan pengampunan Anwar, mengatakan mereka sebagai penderhaka.

“Agong memberi pengampunan kepada Anwar. Tetapi mereka masih mahu bawa ke mahkamah. Inilah yang dinamakan derhaka. Inilah namanya…apa punya sial pun taktau la orang macam ini,” kata Abdullah dengan penuh kemarahan.

Pada September tahun lepas, Anwar gagal untuk menghalang tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi yang mencabar pengampunan Diraja terhadapnya beberapa hari selepas kemenangan PH pada 2018.

Dalam tindakan mahkamahnya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pengampunan penuh diberikan kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Tiada ulasan: