HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Rakyat yang cintakan kemananan
seharusnya menghargai institusi raja yang memayungi tanah air ini, kata
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.
Katanya,
sebagai rakyat yang taat dan setia kepada raja dan perlembagaan negara
sudah tentu mahukan negara terus berada dalam keadaan aman dan selamat
sepanjang bergelut dengan Covid-19, masalah ekonomi dan kemelesetan
negara, bukannya dianaktirikan oleh pemimpin politik yang rakus tidak
henti berusaha merebut takhta pemerintahan negara.
“Kita sedia
maklum, baru-baru ini Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim telah cuba
mencabar usaha proklamasi darurat yang telah diumumkan oleh kerajaan
setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu
kenyataan menerusi laman sosial Facebook UMMAH.
Katanya, kemudian usaha itu diteruskan pula dengan strategi mencabar keputusan menggantung sesi persidangan dewan parlimen.
Berdasarkan perkara itu, ujarnya usaha yang dibawa oleh Anwar sebenarnya tidak lebih daripada percubaan untuk menghasut dan memporak perandakan kestabilan negara.
Tambahnya, Ketua Pembangkang yang sepatutnya memahami keperluan semasa negara yang tenat dilihat berniat menghasut dan ingin menggugat keabsahan keputusan dan perkenan yang telahpun dibuat oleh Agong atas nasihat kerajaan semasa.
Menurutnya, peruntukan perlembagaan telahpun menyatakan Perkara 150(8)(a), Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa penuh memperkenankan Darurat: (Yakni) setelah Baginda berpuas hati dan kepuasan hati baginda berkenan membuat keputusan darurat adalah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mana-mana mahkamah di dalam negara ini. Ini bermakna nasihat yang diberikan oleh kerajaan semasa kepada YDPA sebelum YDPA membuat keputusan adalah sudah dinilai dengan teliti manakala keputusan Baginda YDPA adalah mutlak dan sah.
Justeru, tambahnya UMMAH mengambil sikap dan pendirian yang tegas berlandaskan hak dan prinsip perlembagaan ingin menasihatkan agar pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti dari sebarang usaha mengkucarkacirkan sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.
UMMAH juga, ujarnya ingin menegaskan bahawa jika ada usaha yang berniat menghasut, mencabar, memporak perandakan keadaan negara yang sedang tenat ini perlu diambil tindakan yang tegas oleh pihak keselamatan.
“Kita sebagai rakyat yang cintakan kemananan di negara ini seharusnya bersatu padu dalam usaha membaik pulih negara, ekonomi dan menghargai institusi raja yang memayungi tanah air ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan