Tiga parti berteraskan Melayu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Umno, Bersatu dan Pas dilihat akan saling berebut kerusi bertanding pada PRU-15.
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berpendapat penjajaran politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) banyak bergantung sejauh mana mereka dapat menyelesaikan konflik.
Menurutnya, Umno tentu sekali sukar menerima Bersatu yang dianggap mengkhianati Umno dengan sebahagian kerusi dimenangi pada PRU 2018 bertukar tangan kepada Bersatu.
Dalam masa sama, sikap Pas pula yang lebih cenderung mesra Bersatu menimbulkan rasa tidak puas hati Umno yang merupakan sekutu dalam Muafakat Nasional (MN).
“Pas tidak hendak sangat kepada Umno. Dia nak lebih kepada Bersatu. Umno pun sudah naik marah nampak Pas tidak hendak sangat MN tetapi lebih kepada PN.
“Umno pula memang susah dengan Bersatu. Hakikatnya, tiga parti ini yang merupakan parti Melayu yang sokongannya ialah dari masyarakat Melayu akan berebut kerusi-kerusi Melayu.
“Itu memang pasti. Itu sebabnya mereka menghadapi masalah untuk bersetuju hendak bertanding bagaimana,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 94) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “PRU15: Penjajaran Baharu?” semalam.
Pada masa ini, Umno menguasai 39 kerusi Parlimen beranding Bersatu (31 kerusi) dan Pas hanya 18 kerusi.
Walau bagaimanapun, Bersatu yang juga parti diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendominasi portfolio kementerian yang paling penting.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, perebutan kerusi paling ketara antara Umno dan Bersatu terutama kerusi yang menyaksikan wakil rakyatnya melompat kepada Bersatu.
“Bersatu akan kata itu kerusi dia. Contohnya, kerusi Parlimen Pagoh (disandang Muhyiddin). Tapi bagi Umno, Pagoh itu kerusi tradisi miliknya.
“Lebih teruk kerusi yang dimenangi oleh calon Umno atas tiket BN tetapi kemudian lompat kepada Bersatu.
“Kerusi ini lagilah Umno tidak akan beri (kepada Bersatu). Mana kerusi yang dimenangi atas tiket BN pula tentu tidak akan lepas.
“Jadi, berapa sangatlah kerusi yang Bersatu dapat bertanding? Ini akan mengundang perbalahan antara mereka,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan