HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

Parti serpihan UMNO ditubuhkan untuk kepentingan peribadi – Zahid

KHAIRULANUAR YAHAYA

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti serpihan berkenaan sama sekali tidak sama dengan UMNO.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulas mengenai penubuhan parti Pejuang yang masih belum dilulusakn. Parti tersebut diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz.

“Mula-mula marah ROS sebab belum luluskan pendaftaran parti dia – Parti Pejuang. Kemudian boleh kata pula terlalu banyak parti politik di Malaysia tak bagus untuk demokrasi.

“Realitinya, parti-parti baharu dari serpihan Umno ditubuhkan oleh orang yang sama dan kuncu-kuncu dari DNA Umno. Semuanya untuk mencapai kepentingan peribadi,” kata Ahmad Zahid.

Beliau yang mengambilalih kepimpinan UMNO daripada Datuk Seri Najib Tun Razak lebih dua tahun lalu menegaskan, UMNO akan tetap kekal sama seperti dahulu sebagai parti yang berkhidmat untuk bangsa dan agama.

Tambahnya, UMNO merupakan sebuah parti yang ‘gentleman’ atau budiman yang berpegang teguh terhadap amalan demokrasi.

Ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan dengan UMNO merupakan parti teras  tidak pernah menyekat penubuhan parti politik termasuk pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyindir pihak yang mahu mengharamkan penubuhan UMNO yang disifatkannya sebagai tidak gentleman.

“Cuma bezanya UMNO/BN tidak pernah mengelat. Berpegang teguh kepada keluhuran demokrasi. Sebab itu kerajaan BN dulu tidak sekat pendaftaran PPBM. UMNO/BN parti “gentleman“.

“Yang tak demokrasi dan tak “gentleman” adalah mereka yang cuba membatalkan pendaftaran UMNO. Kita bersama-sama tetap mempertahankan parti keramat bangsa ini demi agama dan negara tercinta,” katanya.

Selain Pejuang, parti lain yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan bekas Timbalan Presiden UMNO.

Turut ditubuhkan hasil DNA UMNO adalah Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO.-SM

Tiada ulasan: