HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Laporan polis KIMMA seolah ugut anak muda bersuara

MGF08012020_TEMUBUAL-MOHD-ZULKIFLI_02
Mohd Zulkifli Abdul Fatah

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (DPM) kecewa dengan tindakan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) membuat laporan polis terhadap dua anak muda yang memuatnaik video bercorak perbincangan dalam laman Facebook Media Mamak Malaysia.

Video tersebut yang memaparkan dua anak muda berbangsa India Muslim, dengan seorang daripadanya sebagai moderator dan seorang lagi memberi penjelasan mengenai pendapat umum terhadap KIMMA.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha DPM, Mohd Zulkifli Abdul Fattah, pihaknya menerima maklumat, Ketua Penerangan KIMMA, Mohaideen Abdul Kadar Mohd Maideen telah membuat laporan polis dan menuduh anak muda itu menghasut orang ramai agar membenci parti berkenaan.

“Saya telah menonton dan dapati video tersebut hanyalah sesi soal jawab antara dua anak muda yang tidak setuju dengan cara KIMMA berpolitik.

“Adakah KIMMA cuba menakutkan anak muda berkenaan supaya mereka tidak bersuara selepas ini? Adakah ini cara KIMMA mengelak daripada kritikan yang akan datang? Dan adakah pendapat anak muda tidak penting bagi KIMMA?

“Berdasarkan tindakan Ketua Penerangan KIMMA ini, jelas jawapan bagi soalan ini adalah ‘ya’. Dalam salinan laporan polis itu, Ketua Penerangan KIMMA menekankan bahawa kedua anak muda ini bukan ahli KIMMA dan tidak faham akan perlembagaan KIMMA,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Rabu lalu, Mohaideen Abdul Kadar membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur mendakwa, dua lelaki dalam video itu bukan ahli KIMMA dan telah dengan sengaja memprovikatif dan cuba memesong fakta parti itu kepada umum.

Dalam pada itu, Mohd Zulkifli mempersoalkan adakah KIMMA sedar, mereka adalah sebuah parti politik yang berasaskan kaum dan perlu berperanan sebagai wakil masyarakat dalam pemerintahan negara.

Tiada ulasan: