HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Januari 2021

Seolah-olah ada orang tengah dalam perjanjian vaksin, kata Tajuddin

 
Sebuah syarikat swasta dilaporkan memesan 100,000 dos vaksin dari China. 
(Gambar AP)

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mempersoalkan jaminan diberikan menteri kewangan di Dewan Rakyat yang pembelian vaksin Covid-19 akan dilaksanakan hanya melalui transaksi antara kerajaan, atau kerajaan dengan pengeluar.

Beliau memberitahu FMT, perjanjian terbaru oleh sebuah syarikat swasta di Malaysia membayangkan pembabitan orang tengah, walaupun Tengku Zafrul Aziz memberi jaminan sebaliknya pada persidangan terakhir Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu merujuk kepada Bioalpha Holdings Sdn Bhd, yang menandatangani perjanjian dengan Shanghai Bukun Trading Co Ltd (SBTC) untuk perolehan dan pengagihan vaksin Covid-19 di Malaysia.

The Star semalam melaporkan, perjanjian itu membabitkan 100,000 dos awal vaksin Sinovac Life Sciences Co Ltd dari SBTC dengan pesanan akan datang sehingga sejuta dos.

Tajuddin berkata, syarikat swasta tidak patut meraih keuntungan daripada Covid-19.

“Tengku Zafrul berkata tiada pihak (swasta) akan terlibat sebagai orang tengah. Hanya kerajaan terbabit dalam perolehannya,” katanya.

Katanya, Bioalpha membeli 100,000 dos awal untuk pekerja asing, kerana golongan majikan meminta vaksin berkenaan.

“Tidak wajar sektor swasta meniagakan vaksin itu. Mereka patut berbincang dengan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau menyoal sama ada kerajaan mengubah pendirian susulan jaminan diberikan Tengku Zafrul sebelum ini, dan menambah Putrajaya tidak patut melayan pembabitan sektor swasta dalam pembelian vaksin.

“Sebaik mereka (sektor swasta) mendapat kawalan vaksin, bagaimana kita tahu mereka hanya menggunakannya untuk pekerja asing?” katanya, secara tersirat membayangkan kemungkinan vaksin dijual untuk keuntungan.

Tajuddin berkata, banyak kes Covid-19 juga berpunca dari kilang sarung tangan, yang dianggapnya patut menyumbang kepada kerajaan untuk membayar bagi vaksin untuk kegunaan umum.

“Mereka meraih berbilion ringgit. Mereka patut menyumbang sedikit peratusan keuntungan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

The Star dalam laporannya memetik Pengarah Urusan Bioalpha William Hon berkata, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma kepada warganegara.

Katanya, sektor korporat ada bertanya mengenai inokulasi untuk kakitangan mereka, termasuk pekerja asing.

Tiada ulasan: