HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

KIMMA nafi runding dengan Pejuang

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menyangkal segala fitnah kononnya kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran dengan parti Pejuang.

Setiausaha Agungnya, Hussein Jamal Mahamad menyifatkan tindakan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggangjawab yang sengaja mengambil kesempatan menabur fitnah dan mereka cerita untuk mencemar nama baik pemimpin dan parti KIMMA.

“Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kononnya kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran dengan parti Pejuang.

“Saya ingin menegaskan bahawa Dato’ Seri Presiden KIMMA atau saya sendiri selaku Setiausaha Agung atau mana-mana pemimpin tertinggi KIMMA tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan parti Pejuang dan perkara itu tidak pernah terlintas di pemikiran kami.

“Ini merupakan satu tohmahan yang sengaja dicetuskan pihak tertentu demi survival dan kepentingan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini terdapat kenyataan media yang mengaitkan KIMMA dengan parti Perjuang yang dipimpin oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hussein, parti itu akan tetap bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) serta menyokong pentadbiran kerajaan.

Katanya, hala tuju parti itu adalah jelas dan sekiranya terdapat perubahan ianya akan hanya ditentukan oleh Majlis Tertinggi KIMMA dan para perwakilan dari seluruh negara di Perhimpunan Agung KIMMA.

“Saya berharap agar semua pihak yang cuba menangguk di air yang keroh menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab mereka.

“Kini, tindakan tegas mengikut undang-undang Malaysia sedang diambil terhadap pihak yang berkenaan,” jelasnya lagi.

KIMMA merupakan sebuah parti gabungan Umno yang mempunyai Perlembagaan dan struktur pentadbiran teratur yang memperjuangkan kesejahteraan masyarakat India Muslim khususnya dan rakyat Malaysia amnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: