MALAYSIAKINI
Hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim merupakan salah satu sebab Azmin Ali membuat keputusan meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Gombak itu dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya.
Azmin berkata, 'amalan seksual yang tidak bermoral' dilakukan Anwar menjadi punca dia hilang kepercayaan terhadap presiden PKR itu.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan melalui firma guamannya Tetuan Zharid Nizamuddin, Azmin berkata Anwar langsung tidak berkelayakan dan bukan seorang yang sesuai untuk memimpin PKR serta menjadi perdana menteri Malaysia.
"Dakwaan ini disokong oleh beberapa dakwaan kukuh berhubung perlakuan dan/atau amalan seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang tidak bermoral sebagai seorang beragama Islam, khususnya semenjak DSAI kembali menjadi presiden PKR dan telah bebas untuk bergerak," katanya.
Azmin merujuk dua kes membabitkan tuduhan dibuat oleh Mohammed Yusoff Rawther mengenai serangan seksual dilakukan Anwar dan tuduhan yang sama dibuat oleh individu bernama Aidil Azim Abu Adam.
Anwar bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku seksual.
Untuk rekod, Azmin pada 2019 juga terpalit dengan skandal seks luar tabie apabila video yang memaparkan individu mirip wajarnya tersebar.
Namun dia menafikan tuduhan berkenaan sebagai usaha menjatuhkan karier politiknya dalam PKR.
Azmin dalam pernyataan pembelaannya juga berkata dia meragui status pengampunan penuh yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar.
Anwar dipenjarakan pada tahun 2015 atas dakwaan meliwat bekas pembantunya tetapi diberi pengampunan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 2018.
Azmin yang juga menteri perdagangan, antarabangsa dan industri juga menafikan dakwaan bahawa dia gagal menunaikan janji pilihan raya terhadap pengundi di kawasan Gombak.
Katanya, manifesto pilihan raya tersebut merupakan satu deklarasi niat dan polisi yang ingin dilaksanakan oleh PH secara kolektif dan bukan individu.
Bagaimanapun Azmin berkata dia masih komited untuk memerangi dan menghapuskan rasuah meskipun tidak bersama PKR dan telah menyertai Bersatu.
"Memandangkan “undi adalah rahsia”, bagaimana boleh plaintif- plaintif membuktikan dengan kukuh bahawa mereka dengan benar dan jujur telah memilih defendan semasa PRU-14 dan/atau kertas undi masing-masing tidak rosak bagi tujuan pengiraan undi?" tambahnya.
Azmin berkata dia merupakan ahli parlimen dan Adun yang bertanggungjawab terhadap seluruh warganegara Malaysia yang bermastautin di kawasan parlimen dan Dun serta bukan hanya terhad kepada mana-mana pemilih.
Katanya, perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mana-mana warganegara Malaysia untuk membentuk persatuan.
Azmin juga menafikan bahawa dia bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.
Sebaliknya, katanya, kerajaan PH tumbang disebabkan peletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Pada Februari tahun lalu, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk mengeluarkan Bersatu daripada Pakatan Harapan.
Dia disertai oleh sekumpulan pemimpin PKR yang diketuai Azmin, yang pada masa itu merupakan timbalan presiden PKR.
Bersama pembangkang mereka membentuk kerajaan Perikatan Nasional Plus yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan