HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

Parti Muda gesa kuasa kementerian serah kepada KP Kesihatan

Shawaliah Hadir

Logo-Parti-Muda-170920

KUALA LUMPUR – Parti Muda menggesa supaya bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diserahkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Parti itu mendakwa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya gagal menjalankan tugas.

Justeru parti itu menggesa agar Adham dan timbalannya melepaskan jawatan agar dapat menjimatkan kos gaji.

“Muda memanggil untuk barisan Kabinet dikecilkan dengan memecat khususnya menteri-menteri yang tidak berfungsi dan menyerahkan tugas kepada penjawat awam untuk operasi pengurusan harian sepanjang tempoh darurat ini.

“Bermula dengan Adham Baba selaku Menteri Kesihatan serta dua timbalannya dengan menjimatkan kos gaji menteri serta timbalannya dan semua pegawai-pegawai lantikan politik, dan menyerahkan bidang kuasa tugas kepada Ketua Pengarah Kesihatan,” kata Parti Muda menerusi kenyataan hari ini.

Parti itu berkata demikian susulan perkembangan semasa kes Covid-19 mencapai angka 5, 725 semalam.

Parti itu turut menyifatkan negara tidak berjaya menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk melandaikan keluk penularan wabak berkenaan.

“Malaysia gagal mengekang penularan pandemik ini walaupun telah melaksanakan PKP melebihi dua minggu,” tambah parti itu.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: