HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2021

MP bimbang siasatan polis terhadap Anwar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli Parlimen Selayang William Leong mempersoalkan apakah terdapat campur tangan politik di sebalik tindakan polis menyiasat pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.

Siasatan berkenaan berhubung kenyataan presiden PKR itu yang meminta ahli-ahli parlimen mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan pengisytiharan Darurat.

Portal berita Malaysia Now sebelum ini melaporkan siasatan itu berikutan laporan polis yang mendakwa Anwar mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan hari ini, Leong berkata, dia melihat tidak ada "sebab yang munasabah" bagi siasatan itu dijalankan.

"Tidak ada apa-apa hasutan yang dikatakan oleh Anwar. Tambahan pula, gesaan Anwar jelas termasuk dalam Seksyen 3 (2) Akta Hasutan 1948.

"Saya tidak boleh membayangkan apa yang dianggap sebagai menghasut atau memiliki kecenderungan menghasut,” katanya.

Terdapat beberapa pengecualian diperuntukkan dalam Akta Hasutan, antaranya Seksyen 3(2)(a) menyatakan jika sesuatu ucapan itu kecenderungannya hanyalah untuk menunjukkan bahawa raja telah disalah maklum atau tersilap dalam langkahnya, maka ucapan itu tidak dianggap sebagai hasutan.

Bukit Aman kini sedang menyiasat Anwar di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Leong berpendapat kenyataan Anwar itu tidak mempunyai niat untuk menimbulkan kerusuhan, ketakutan atau kebimbangan awam.

Awal bulan ini, Anwar menggesa ahli parlimen menulis surat kepada Agong untuk memohon agar proklamasi darurat ditarik balik dan parlimen bersidang sebelum 31 Januari.

Minggu lalu, ahli parlimen Port Dickson itu mendakwa seramai 115 ahli parlimen menolak pengisytiharan darurat yang jumlahnya lebih daripada separuh ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Dia juga memohon deklarasi dari mahkamah bahawa nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung parlimen dalam tempoh darurat adalah tidak mengikut perlembagaan.

Tiada ulasan: