HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Januari 2021

Kain rentang desak Presiden UMNO berundur bukan perbuatan 'orang dalam' - Jalaluddin Alias

Fareez Azman
Kain rentang desak Presiden UMNO berundur bukan perbuatan 'orang dalam' - Jalaluddin Alias
Jalaluddin percaya perbuatan itu bukan dilakukan 'orang dalam'. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Tindakan pihak yang memasang kain rentang di Tanjung Malim, Kuala Kangsar dan Bandar Tun Razak mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan tiada kaitan dengan parti itu.
 
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Jalaluddin Alias, beliau percaya perbuatan itu bukan dilakukan 'orang dalam'.
 
"Tidak tahu siapa yang lakukan, tapi saya tak fikir ada kaitan dengan UMNO kerana kita tahu tiada gerakan cuba jatuhkan pemimpin tertinggi dalam parti.
 
"Mungkin ada gerakan oleh pihak-pihak lain... pembangkang barangkali. Tapi saya difahamkan UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Bandar Tun Razak sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu," katanya.
 
Terdahulu, tular di media sosial gambar kain rentang yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan tertinggi parti itu.
 
Kain rentang berkenaan dikesan dipasang di tiga lokasi berasingan dengan menggunakan logo serta nama UMNO bahagian.
 
BACA: Kain rentang desak Zahid letak jawatan: UMNO Kuala Kangsar pula buat laporan polis
BACA: UMNO Tanjung Malim lapor polis kain rentang desak Zahid letak jawatan
 
Bagaimanapun, tambah Jalaluddin, meskipun terdapat tindakan pihak tertentu yang cuba mengeruhkan keadaan politik parti itu. Beliau berharap agar ia tidak melemahkan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO.
 
"Mungkin ada pihak-pihak yang tidak senang dengan kita, tapi saya berharap seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat dapat bertenang dan ambil pendekatan untuk terus perkukuhkan parti.
 
"Mungkin wujud sedikit perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin UMNO tapi ia tidaklah sampai kepada perpecahan," katanya.
 
Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pula berharap pemimpin dan ahli parti itu tidak melakukan tindak balas yang boleh memberi kesan kepada parti.
 
"Kita tidak tahu siapa letak (kain rentang itu), namun saya berharap pemimpin dan ahli UMNO tidak melakukan tindak balas yang boleh memecahkan parti. Paling penting, jangan biarkan parti ini hilang arah," katanya.

Tiada ulasan: