HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2021

SOP PKP longgar tapi kompaun mahu dinaikkan, kata Puad

MGF17072017_Majlis-Mesra-Aidilfitri-JASA_11
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu meningkatkan kompaun dan denda kepada individu dan syarikat yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) longgar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, apabila pelaksanaan PKP longgar, memanglah SOP tidak dihormati.

”Menteri pula umum kompaun dan denda bagi individu atau syarikat yang gagal mematuhi SOP dan PKP akan dinaikkan. PKP longgar tetapi rakyat mahu didenda tinggi. Bila PKP longgar, memanglah SOP tidak dihormati,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Katanya, kalau kerajaan mahu mengambil tindakan tegas, maka banyak kerja dan petugas perlu dikerah untuk memantau.

“Tak ada kojo cari kojo. Ada kojo tercongang-congang,” ujarnya yang turut mempersoalkan tentang keputusan kerajaan membuka semula pasar tani hingga SOP diabaikan sedangkan masjid dan surau tetap tutup kepada orang awam.

”Kenapa tidak buka macam shopping mall dan yang lain-lain buka?

”Betullah apa yang DS Najib tanya. PKP ini untuk apa? Saya tambah, “darurat” pun untuk apa? Apakah PKP jadi alasan untuk minta darurat politik dan gantung Parlimen?,” soalnya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kompaun dan denda bagi kesalahan individu atau syarikat yang gagal mematuhi SOP PKP akan dinaikkan dalam Ordinan Darurat.

Katanya, kerajaan sedang menggubal hukuman lebih berat melalui ordinan berkenaan berikutan masih ramai yang gagal mematuhi SOP mengekang penularan COVID-19 ketika ini.

Jelas Ismail Sabri, melalui pelaksanaan Ordinan Darurat tersebut, individu yang dihadapkan ke mahkamah akan dikenakan denda yang lebih tinggi berbanding sekarang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: