HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2021

PRU15 sebelum 1 Ogos?

Hasimi Muhamad
PRU15 sebelum 1 Ogos?
Annuar berkata, penting untuk UMNO memastikan parti itu memenangi 
pilihan raya tersebut, atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada 
pasukan yang menang. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum 1 Ogos atau 60 hari selepasnya.
 
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, penting untuk UMNO memastikan parti itu memenangi pilihan raya tersebut, atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian daripada ‘pasukan yang menang’.
 
“Justeru, tanggungjawab para nakhoda adalah mengemudi ke arah kejayaan, bukan ke arah menghancurkan.
 
“Sementara para juragan terus mendayung dan bekerja kuat sepasukan membawa parti ke destinasinya,” kata Annuar dalam entri di laman Facebooknya, hari ini.
 
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan melaksanakan Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
 
Dalam pada itu, Annuar mengingatkan agar ahli UMNO tidak bersikap sombong atau mempunyai sifat hasad dengki.
 
Sebaliknya, perkara utama Annuar berkata, UMNO perlu selamat, kekal serta disayangi oleh rakyat.
“Jangan pepat (rata) di luar, rencong (serong) di dalam. Jangan depan lain, belakang lain.
 
“Berkata benar dan berterus terang serta sabar bila difitnah. Insya-Allah kebenaran dan kemenangan menanti di hadapan,” ujar beliau.

Tiada ulasan: