HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2021

Bincang rebut kuasa setelah parlimen bubar

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli politik perlu menghentikan segala agenda politiking bagi menjatuhkan kerajaan kerana ia tidak menggambarkan kematangan serta tidak menepati senario politik ketika ini.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, aktiviti politik ini seharusnya dilakukan apabila pilihan raya telah diisytiharkan ataupun parlimen dibubarkan.

“Ini adalah merupakan salah satu daripada apa yang dilakukan oleh ahli-ahli politik di Eropah seperti Amerika Syarikat dan juga di tempat-tempat lain yang menunjukkan bahawa ahli-ahli politik di luar sana mereka sangat matang apabila membincangkan hal-hal berkaitan politik.

“Mereka hanya membincangkan tentang perebutan kuasa, usaha untuk menjatuhkan pihak lawan dan juga mencari kelemahan serta kekurangan mana-mana parti pemerintah yang ada di tempat masing-masing hanya dilakukan apabila mereka tahu parlimen telah dibubarkan ataupun pilihan raya telah terlalu dekat,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Kamaruzaman menyifatkan tindakan segelintir ahli politik yang menuding jari dengan menyalahkan mana-mana pihak berkaitan dengan isu yang berlaku ketika ini adalah tidak wajar dan perlu dihentikan segera.

“Adapun dalam tempoh yang lain ataupun dalam masa yang lain, seluruh parti-parti politik yang ada di seluruh dunia ini, apa yang mereka lakukan ialah mereka bersama-sama dengan kerajaan sama ada membantu kerajaan membangunkan rakyat dan mengutamakan kepentingan negara.

“Sebagai contohnya di United Kingdom (UK), mereka membentuk shadow cabinet dengan tujuan untuk memastikan bahawa setiap ahli kabinet yang dilantik menjadi kabinet kerajaan itu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dan memberikan pandangan-pandangan supaya penambahbaikan dapat dilakukan daripada masa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua pihak terutamanya ahli politik menimbang perkara itu dengan sebaik-baiknya dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kepentingan rakyat serta pemulihan ekonomi negara.

“Cubalah sama-sama fikir apa yang berlaku kepada kelompok yang kurang bernasib baik terutamanya golongan B40 yang terpaksa bergelut untuk meneruskan kehidupan, di samping kekangan anak-anak untuk belajar melalui PdPR ketika tempoh PKP ini.

“Pihak Istana Negara juga telah menyebutkan bahawa darurat akan dipendekkan sekiranya rantaian Covid-19 berjaya diputuskan sama ada melalui vaksin ataupun kontak rapat antara satu sama lain,” katanya dengan harapan agar semua pihak dapat muhasabah diri dan kembali ke jalan kebaikan. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: