HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2021

Beradab Bila Berkata, Bertindak Biar Sekata… Bukan Jadi Enau Di Dalam Belukar – Azhari

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata tiada istilah lontar batu sembunyi tangan di dalam adat Melayu tetapi kata pujangga menekankan hendaklah beradab apabila berkata dan bertindak biar sekata, bertepatan dengan Melayu yang kaya budayanya.

Katanya, tindakan pihak tertentu menggantung ‘banner’ atau kain rentang di tempat tertentu pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur atau berehat sesungguhnya melanggar tata susila bangsa.

“Mana perginya konsep musyawarah dan berbincang secara hati ke hati dalam parti jika benar ada yang tidak kena.

“Jika benar ada yang tidak bersetuju dengan organisasi parti tidak perlulah bertindak sehingga membuat kain rentang seolah-olah itulah pandangan majoriti ahli UMNO,” ujarnya dalam satu entri di Facebook.

Ulasnya juga, semua pihak perlu toleh ke belakang sebentar sejarah sebelum Perikatan Nasional (PN) mengganti Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara, Ahmad Zahid dan kesemua pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS sebagai pembangkang berada di landasan terbaik untuk merampas kembali atas nama Muafakat Nasional (MN).

“Satu demi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dikekal dan dirampas di bawah kepimpinan Ahmad Zahid semasa pilihan raya kecil (PRK).

“Namun selepas PN mentadbir negara sepanjang PKP tahun lalu sehingga kini semua mula menghakimi presiden, mantan presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT) mengikut pandangan masing-masing hingga melupakan peristiwa suka duka sepanjang 22 bulan pentadbiran PH,” katanya.

Justeru Azhari menyeru semua ahli menunjukkan taat setia kepada institusi presiden dan tidak berbuat sesuatu di luar norma parti kerana perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air adalah perjuangan bersama.

“Jika ada masalah selesaikan bersama bukan menjadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, ini bukan masanya,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: