HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

Kerjasama bipartisan platform baiki reputasi CPI - Srikandi Muda

Astro Awani
Kerjasama bipartisan platform baiki reputasi CPI - Srikandi Muda
Kata Ema Syuhaili, sokongan bipartisan amatlah diperlukan dalam usaha 
untuk meneruskan usaha membanteras rasuah termasuk cadangan Rang 
Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik. - Foto Srikandi Muda
 
KUALA LUMPUR: Kesediaan kerajaan untuk meneruskan dasar-dasar baik berkaitan pembenterasan rasuah seharusnya disambut oleh golongan muda dalam semua parti sebagai usaha bipartisan dalam menangani isu tersebut.
 
Pengerusi Srikandi Muda, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, ia tidak harus dipolitikkan malah boleh dijadikan platform untuk menggerakkan usaha bipartisan sekali gus menggambarkan norma baru politik Malaysia.
 
Jelasnya, semua orang perlu sedar lanskap politik Malaysia telah berubah dalam keadaan dimana sokongan politik di dalam Dewan Rakyat kini hampir seimbang.
 
"Ketidakstabilan politik di Malaysia kebelakangan ini telah memberikan persepsi kurangnya fokus diberikan kepada pelbagai perkara utama yang perlu ditangani sesebuah kerajaan termasuk usaha membenteras rasuah.
 
"Pada awal tahun 2019, pihak kerajaan pada waktu itu telah memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi meningkatkan usaha memerangi rasuah secara menyeluruh. Selepas kerajaan bertukar dan sejurus selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menzahirkan komitmen kerajaan untuk tidak mengetepikan usaha membanteras rasuah.
 
"Ini termasuk pewujudan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dan Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan yang terus diadakan secara berkala walaupun dalam tempoh wabak Ccovid-19 secara atas talian. Pihak kerajaan juga memberikan komitmen dalam usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP)," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.
 
BACA: Kedudukan negara dalam CPI jatuh: Ini antara kes rasuah di Malaysia pada tahun 2020
BACA: Kerajaan, SPRM gagal kawal rasuah - Hussamuddin
 
Pada Khamis, Malaysia dilaporkan jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 dikeluarkan Transparency International (TI).
 
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, Malaysia melonjak ke tangga 51 tahun lalu berbanding kedudukan ke-61 dalam CPI sebelum itu.
 
Kali ini, Malaysia mencatat skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).
 
Sehubungan itu kata Ema Syuhaili, sokongan bipartisan amatlah diperlukan dalam usaha untuk meneruskan usaha membanteras rasuah termasuk cadangan Rang Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik.
 
"Walaupun ianya idea yang diketengahkan oleh kerajaan terdahulu, cadangan yang baik ini haruslah disokong oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
 
Tegasnya, kesedaran dan kepentingan untuk mengetengahkan agenda bipartisan perlu dimulakan lebih awal kepada golongan belia dan orang muda.
 
"Dunia selepas COVID-19 telah berubah selama-lamanya. Norma baharu menjadi kebiasaan. Telah sampai masanya untuk kerjasama bipartisan untuk menjadi norma baru politik Malaysia demi kepentingan rakyat.
 
"Adalah diharapkan usaha bipartisan terutamanya golongan muda parti politik akan dapat membantu usaha dalam melaksanakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 secara berkesan.
 
"Ianya mampu membantu meningkatkan kembali ranking CPI Malaysia di peringkat antarabangsa dan seterusnya meyakinkan pelbagai pihak termasuk pelabur luar untuk terus memulihkan dan mengembangkan ekonomi Malaysia pasca pandemik COVID-19," ujarnya.
 
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan akan meneliti dan mengkaji cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh TI-M dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.
 
SPRM dalam satu kenyataan berkata, ia membabitkan mana-mana cadangan berkaitan atau bawah bidang kuasa suruhanjaya itu bagi menyumbang kepada skor lebih baik bagi Malaysia pada masa akan datang.

Tiada ulasan: