KUALA LUMPUR – Tuduhan melulu seorang Felo Majlis Profesor Negara, kononnya hasil kajian beliau mendapati 99 peratus Ecxo Pemuda UMNO adalah jutawan, mendapat reaksi pemimpin sayap parti itu.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim menyindir Prof. Dr. Muhammad Asri Mohd Ali dengan menunjukkan kereta miliknya model Proton Saga yang digunakan beliau dalam urusan harian termasuk ke mesyuarat parti.
“Inilah kereta “porche” saya dan dengan “porche” inilah saya pergi mesyuarat Pemuda UMNO.
“Seramai lebih 200 bertanding jawatan Exco Pemuda, saya menang top lima undian tertinggi tanpa berkempen menggunakan wang ringgit untuk membeli undi,” katanya dengan nada sindir dan sinis kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau membidas kenyataan Prof. Dr. Muhammad Asri yang mendakwa, kajiannya pada tahun 2002 menunjukkan ramai pemimpin muda UMNO bertaraf jutawan.
Moderator bual bicara ‘Minda Profesor Negara Mengenai Masa Depan Malaysia: Ke mana Kita” itu juga mendakwa, Exco Pemuda UMNO tidak mampu memegang jawatan tertinggi parti tanpa menggunakan wang.
Menurut Muhammad Faiz, Muhammad Asri tidak boleh melihat kepimpinan dahulu dengan sekarang, yang mana Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berusaha bersungguh-sungguh memutihkan barisan kepimpinan dari terpalit dengan kekayaan ketika di era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya satu sen pun tak guna duit ketika berkempen, dan kebanyakan Exco Pemuda hidup sederhana, bukan bermewah dengan kekayaan sebagaimana didakwa oleh profesor, yang seperti mabuk ketum apabila membuat tuduhan melulu.
“UMNO dan Pemuda di zaman sekarang hendak bangkit semula dengan mencari pemimpin yang betul-betul bekerja untuk parti, orang Melayu dan rakyat.
“Inilah kejayaan yang dicapai oleh tiga kepimpinan terdahulu selepas Dr. Mahathir, iaitu bermula dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudian diganti Datuk Seri Najib Tun Razak dan disambung Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Oleh itu, kata Muhammad Faiz, kajian yang dibuat oleh felo berkenaan langsung tidak boleh diterimapakai, kerana hasilnya adalah dapatan 18 tahun lalu, bukan dapatan terkini.
“Anda langsung tak layak menjadi profesor, apatah lagi menjadi moderator pun cara anda kendalikannya ke laut.
“Elok bubarkan saja Majlis Profesor Negara kalau begini contoh profesor yang dilahirkan. Memalukan rakyat Malaysia dengan kualiti profesor seperti ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan