HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

Hamidah mengarut, melaga-lagakan polis, SPRM

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
MUKA depan akhbar hari ini

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menyifatkan kenyataan Datuk Hamidah Osman bahawa pihaknya dan polis ‘melayan’ isu tanah rizab Melayu ‘seperti bola’ sebagai cubaan untuk melaga-lagakan dua agensi berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu kononnya SPRM dan polis saling menuding jari adalah mengarut.

“SPRM tidak berpuas hati dengan cara Hamidah yang melaga-lagakan agensi kerajaan dengan mengeluarkan kenyataan yang karut kononnya pihak SPRM dan polis saling menuding jari.

“Tohmahan beliau terhadap SPRM polis adalah serius dan kami akan membuat laporan polis atas perkara tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohd. Fauzi berkata, dakwaan Hamidah itu juga berniat jahat dan berunsur fitnah. 

“Pihak kami memaklumkan bahawa tindakan siasatan akan diambil dan kami tidak menyiasat mengikut arahan mana-mana pihak,” katanya,

Mengenai dakwaan Hamidah bahawa seluas 641.6 hektar tanah rizab negeri ini dipindah milik kepada bukan Melayu, Mohd. Fauzi berkata,  SPRM sudah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“SPRM juga telah merakam percakapan saksi,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Hamidah yang  mengibaratkan isu tanah rizab Melayu yang didedahkan kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini `dilayan’  seperti bola apabila ditendang ke sana sini oleh polis dan SPRM.

Ini berikutan Hamiddah diberitahu siasatan kes itu telah dipanjangkan oleh polis kepada SPRM namun agensi penguat kuasa itu (SPRM) pula  memaklumkan tidak menerima sebarang laporan.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: