HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2021

MP Pasir Gudang bagi 4 bukti untuk Muhyiddin, Kabinet letak jawatan

KHAIRULANUAR YAHAYA

Melalui empat bukti tersebut, Hassan menggesa Muhyiddin bersama anggota Kabinet untuk meletakkan jawatan dengan segera.

“Dengan berlandaskan sekurang-kurangnya empat sebab kegagalan yang dinyatakan di atas, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera. Sekian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen PKR itu, kegagalan menangani wabak Covid-19 merupakan bukti pertama kegagalan pentabiran Muhyiddin.

Katanya, jumlah jangkitan terbaharu Covid-19 semalam 5,725 kes menjadikan kes terkumpul mencecah lebih 200,000 dan jumlah kumulatif kematian pula seramai 733. Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia.

Beliau mendakwa, kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2020 ke tangga 57 berbanding 51 pada tahun 2019 juga membuktikan kegagalan pentabiran Muhyiddin.

Kedudukan yang merosot itu antaranya disumbangkan oleh pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi bagi kes rasuah.

“Bukti Kegagalan Ketiga: PM Muhyiddin Yassin bersama seluruh Kabinetnya telah gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Rating penarafan kedudukan kewangan Malaysia telah jatuh. Pertumbuhan ekonomi menguncup teruk. Berjuta rakyat telah hilang pekerjaan. Hutang negara bertambah. Kadar hutang negara berbanding KDNK semakin meningkat.

“Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur.

“Terakhir sekali ialah fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020.” katanya.

Kegagalan keempat menurutnya kerana Muhyiddin memimpin sebuah kerajaan minoriti dan mendakwa perdana menteri menggunakan Proklamasi Darurat untuk menggantung Parlimen semata-mata untuk terus berkuasa.-SM

Tiada ulasan: