HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Mac 2021

Biar MN Terengganu dibentuk selepas PRU-15 – Dr.Najmil

Seorang pemimpin UMNO Terengganu mencadangkan Muafakat Nasional (MN) di negeri itu hanya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika mengemukakan cadangan itu, Exco Pemuda yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, demokrasi perlu subur di negeri itu kerana jika UMNO bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, hak memilih rakyat akan dinafikan kerana tiada pembangkang di Terengganu.

‘’Sudah tentu ketiga-tiga parti Melayu ini akan menang jika tiada pertembungan kerana parti seperti DAP tidak laku di Terengganu.

‘’MN boleh diwujudkan di Terengganu selepas PRU-15. Biarkan rakyat diberi pilihan untuk menentukan sama ada mahu UMNO atau Pas memerintah negeri ini. Jika UMNO menang, kita boleh jemput Pas dalam portfolio kerajaan negeri. Begitu juga sebaliknya,’’ katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, terpulang kepada kepimpinan untuk menentukannya.

‘’(tetapi) Berdasarkan suara hati rakyat di bawah mereka mahu peluang dan ruang yang seluasnya untuk memilih wakil mereka pada PRU-15. Siapa kita untuk menafikan hak rakyat? Tiba masa rakyat akan menentukan,’’ tegasnya.

Dr.Najmil membangkitkan persoalan, bagaimanakah UMNO ingin membentuk MN di Terengganu, jika Perikatan Nasional (PN) telah pun ditubuhkan secara rasmi dan disertai Pas.

‘’Bersatu telah berbincang dengan Pas untuk meletakkan calon melawan UMNO pada PRU-15. Kita ada maruah. Jangan gadai maruah kita hanya sekadar untuk mendapatkan jawatan dengan mudah. Jangan lupa, Bersatu juga parti yang bertanggungjawab dalam mencorakan dasar kerajaan PH yang ternyata menjahanamkan negara,’’ katanya.

Dr.Najmi turut mengimbas kembali sejarah politik Terengganu yang dikenal sebagai “swing state” di mana pola pengundian sentiasa berubah dan tidak statik bagi mana-mana parti.

‘’ UMNO menguasai kerajaan negeri pada tahun 1961 hingga 1999 dan selepas itu Pas memerintah hingga 2004. Kemudian UMNO kembali memerintah hingga 2018. Kini, Pas pula memerintah kerajaan negeri Terengganu.

‘’Demografi penduduk pula, 94.6 peratus adalah kaum Melayu di Terengganu. Di sini, kita perlu lihat situasi politik di Terengganu adalah berbeza dengan pantai barat di mana komposisi kaum mempengaruhi keputusan pengundian di sesebuah kawasan parlimen. Oleh itu, agenda memperkasa Bumiputera akan diteruskan walau apa jua parti memerintah,’’ katanya.

Tiada ulasan: