KUALA LUMPUR – Seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan media sosial sebagai platform menyalurkan maklumat yang tepat tentang parti dan komponennya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak-pihak berkenaan perlu memperkasakan parti keramat itu dengan fakta dan kebenaran, mencantas kebatilan dan tipu daya pada kos paling minimum.
UMNO/BN mungkin tiada peruntukan khusus sehingga lebih RM40 juta untuk tujuan itu tetapi yakin dengan keikhlasan dan semangat perjuangan seluruh jentera, ahli dan penyokong, UMNO/BN berkemampuan.
”Ini kali kita ‘all out’,” kata Ahmad Zahid.
Menurutnya, UMNO/Barisan Nasional (BN) sedar antara punca gabungan parti itu tewas PRU14 pada 9 Mei 2018 disebabkan pengaruh media sosial.
Media sosial telah dipergunakan seguna-gunanya oleh lawan sebagai senjata memfitnah dan memburuk-burukkan UMNO dan BN.
”Serangan ke atas UMNO/BN secara atas talian telah pun bermula seawal ledakan internet di Malaysia. Bermula dengan emel berantai dan kemudian kewujudan SMS menjadi saluran utama menyerang BN saban hari,” ujar beliau.
Tetapi Ahmad Zahid yakin rakyat Malaysia hari ini semakin bijak dalam menilai pelbagai dakyah yang disalurkan kepada mereka di media sosial.
”Mereka sudah boleh tahu dan mula berkira-kira antara fakta dan dusta, pembohongan dan kebenaran.
”Namun saya tetap menyeru seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO/BN tidak lagi berdiam diri dan berlengah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan