HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mac 2021

Muhyiddin saman Puad Zarkashi

Oleh SUWARNI MOKHTAR
MUHYIDDIN YASSIN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan saman fitnah terhadap ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pagoh juga berjaya mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Mohd. Puad atau mana-mana ejennya mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan perintah kuarantin di akaun Facebook milik Mohd. Puad.

Menurut saman yang difailkan Muhyiddin atas kapasiti peribadi, Mohd. Puad yang dinamakan sebagai defendan tunggal didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah pada 9 Februari lalu.

Kenyataan fitnah dibuat dalam laman Facebooknya di bawah nama ‘DrPuad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’.

Kenyataan itu antara lain mempersoalkan tempoh kuarantin yang dijalani Muhyiddin selaku plaintif pulang ke tanah air selepas lawatan rasmi ke Indonesia.

Kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Perdana Menteri sebagai tidak mempedulikan arahan Ketua Pengarah Kesihatan dan menyalahgunakan kuasanya bagi membolehkan Kabinet yang mengikuti rombongan ke Indonesia termasuk dirinya tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

Sehubungan itu, Muhyiddin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang ditentukan oleh mahkamah.

Plaintif turut memohon satu permohonan maaf yang akan diterbitkan di laman Facebook Mohd. Puad dan juga di semua portal berita dan laman sosial yang telah menerbitkan pernyataan fitnah itu.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. UTUSAN

Tiada ulasan: