MASJID TANAH: Badan Perhubungan PAS Melaka
melahirkan rasa kesal atas penerbitan sebuah berita yang mengelirukan
oleh akhbar Utusan Malaysia.
Menurut Ketua Penerangan PAS Melaka,
Bakri Jamaludin, Perhubungan PAS Negeri Melaka menegaskan berita yang
disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 25 hb Mac lalu bertajuk ‘PAS
Melaka bersama Umno’ adalah berita yang tidak tepat dan mengelirukan.
Beliau
mewakili PAS Melaka menafikan bahawa laporan yang menyebut PAS Melaka
akan bersama Umno sahaja dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan
datang, katanya mewakili Badan Perhubungan PAS Melaka dalam satu
kenyataan, pagi tadi.
Tambah beliau, PAS Negeri Melaka komited untuk terus memantapkan agenda perpaduan ummah di negeri Melaka serta kekal memegang prinsip ‘Memperkasa MN, Mempertahan PN’.
“Ini selaras dengan hasrat pimpinan tertinggi parti Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mahukan agar semua parti Melayu bersatu dalam menghalang DAP-PH daripada menguasai semula kerajaan.
“Penyatuan Melayu yang melibatkan PAS, BERSATU dan Umno akan terus dipertahankan demi untuk kelangsungan dan kepentingan politik orang-orang Melayu bersama-sama dengan golongan bukan Melayu yang tidak ekstrem,” jelasnya lagi.
Justeru itu katanya, PAS Melaka akan terus membina hubungan dan kerjasama erat bersama tiga serangkai utama Parti Melayu iaitu PAS, BERSATU dan Umno bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi menjaga keharmonian dan kestabilan politik negara. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan