Selesaikan kes mahkamah bekas menteri dahulu, pastikan pemimpin politik isytihar harta
BANGI – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya sesuai dilaksanakan selepas kes mahkamah yang membabitkan bekas menteri dan beberapa pemimpin tertinggi pelbagai parti politik diselesaikan terlebih dahulu.
Meskipun memakan masa bertahun-tahun, saranan itu dilihat wajar supaya rakyat dapat menilai siapa calon yang benar-benar layak untuk diberikan mandat bagi memimpin negara.
Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim turut menggesa semua menteri Kabinet, Ahli Parlimen serta semua pemimpin tertinggi parti-parti politik di Malaysia mengistiharkan harta mereka.
Bahkan katanya, pihak berkenaan perlu disiasat jika ada sesuatu yang mencurigakan atau pertentangan dengan undang-undang negara.
“Setelah tiba penggalnya, semua parti politik buat pemilihan masing-masing. Biar ahli parti memilih pemimpin berdasarkan cadangan ini secara bebas dan tidak tergesa-gesa.
“Kemudian baharulah dibuat PRU-15. Supaya kita tahu siapa yang telah diberikan mandat yang sebenar oleh parti masing-masing.
“Siapa yang benar-benar berwibawa berdasarkan rekod integriti dan kemampuan memimpin negara masing-masing,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Susulan polemik politik yang melanda negara kini, Ir Lukman Al Hakim menganggarkan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi melaksanakan cadangan solusi tersebut.
“2023 adalah tahun yang praktikal untuk melengkapkan semua cadangan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan