HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 April 2021

Anifah: Mengaku 'salah' sajalah Hisham

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas menteri luar negeri Anifah Aman menasihatkan supaya penyandangnya Hishammuddin Hussein mengakui 'kesalahannya' dengan memanggil ‘abang’ terhadap China, dan bukannya memburukkan lagi keadaan dengan mempertahankan tindakannya itu.

"Hishammuddin telah mempertahankan tindakannya dengan mengatakan ‘ungkapan yang saya gunakan tidak merujuk hubungan dua hala’ tapi 'menghormati bahawa Wang Yi lebih tua, dan menteri luar negeri yang lebih senior (berbanding dirinya), justeru secara peribadi (dia) ‘abang’ kepada saya.’

“Oleh itu, komen saya hanyalah: Hishammuddin telah melakukan 'kesalahan diplomatik'.

"Ungkapan yang digunakan bukan saja tidak sesuai tetapi jelas telah meletakkan Wang Yi dalam posisi yang sukar dan memalukan.

"Bahasa tubuh Wang Yi mengatakan segalanya, dan dia dengan cepat mengucapkan ungkapan ‘kita adik-beradik’,” kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijak dalam pemilihan penggunaan kata-katanya.

"Bagaimanapun, seperti kata bidalan, diplomasi adalah garis pertahanan yang pertama. Daripada berdebat dan cuba pertahankan pilihan kata-kata yang salah, Hishammuddin sepatutnya terima hakikat bahawa dia telah lakukan 'kesalahan diplomatik'.

“Melakukan 'kesilapan diplomatik sudah cukup salah' tetapi untuk mempertikaikan dan pertahankan kesilapan diplomatik itu jelas menunjukkan sikap sebenar seseorang itu,” kata Anifah.

Terdahulu, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengkritik ungkapan Hishamuddin yang mengatakan bahawa ia mengheret Malaysia 25 tahun ke belakang dalam soal dasar luar dengan China, serta menjejaskan usaha pegawai Wisma Putra selama ini.

"Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

"Percubaan Menteri Luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet Perikatan Nasional (PN) mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China," katanya sambil menggesa Hishammuddin meminta maaf kepada rakyat dan menarik semula ungkapan itu.

Tiada ulasan: