HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2021

Baru Bian: Anak kahwin campur di Sarawak wajar diiktiraf bumiputera

MALAYAIAKINI

Malaysiakini

Anak yang lahir hasil perkahwinan campur antara orang asal Sarawak dengan orang luar, wajar diiktiraf sebagai bumiputera anak negeri, kata Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.

Menyokong gesaan oleh Presiden Rurum Kelabit, Dr Philip Raja dan setiausaha agung Balai Dagang Industri Dayak (DCCI), Libat Langub, kata Baru, terdapat keperluan mendesak agar isu berkenaan diselesaikan di Sarawak.

Katanya lagi, perbincangan dengan pemimpin-pemimpin lain dalam partinya Parti Sarawak Bersatu (PSB), bersetuju supaya isu itu menjadi keutamaan parti.

“Demi kepentingan anak-anak perkahwinan campur di Sarawak, kami berikrar dalam manifesto kami untuk melindungi identiti dan hak mereka …

“(Ini dilakukan) dengan mengambil langkah segera bagi meminda takrif “anak negeri” dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri, serta terhadap Ordinan Tafsiran Sarawak bagi memasukkan anak hasil perkahwinan campur itu sebagai orang asal Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Baru turut berkongsi mengenai pengalamannya berdepan dengan kemelut yang dihadapi anak-anak hasil perkahwinan campur di negeri berkenaan.

Pertama, katanya dalam kes Nor Nyawai di Mahkamah Tinggi, apabila Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak berhujah bahawa plaintif perlu membuktikan bahawa mereka orang asal, serta tiada nenek moyang mereka yang berkahwin di luar daripada kaum yang disenaraikan dalam Ordinan Tafsiran Sarawak.

“Meskipun jabatan itu menarik balik pernyataan itu, Hakim Ian Chin menyebut dalam penghakimannya bahawa “jika hujah yang saya rujuk tadi ditegakkan, ia akan melucutkan status orang asal daripada ramai orang Sarawak hasil perkahwinan campur (antara orang asal dan orang luar),” jelasnya.

Baru berkata masalah turut dihadapi anak hasil perkahwinan campur ini apabila Jabatan Tanah dan Survei Sarawak menyukarkan anak-anak ini untuk mewarisi tanah adat.

Dinafi masuk IPTA

“Pada masa dulu, amalannya, jika ayah orang asal, maka anak-anaknya turut dianggap orang asal, tetapi itu sudah berubah atas alasan yang hanya diketahui oleh mereka dan pembuat dasarnya. Ini memberi kesan serius kepada penuntut tanah adat orang asal," katanya lagi.

Dia turut mengimbau kes apabila anak hasil perkahwinan campur dinafikan kemasukan ke institusi pengajian tinggi kerana status mereka dianggap bukan bumiputera.

Sekiranya masalah tersebut tidak ditangani, kata Baru, ramai orang Sarawak akan hilang status mereka peribumi dan akhirnya tidak ada lagi orang asal yang tinggal di negeri itu.

“Ini bukan saja mempunyai kesan serius terhadap demografi Sarawak, tetapi ia merosakkan rasa berindentiti, berbudaya dan berwarisan dalam rakyat Sarawak.

“Kita selalu berbangga dengan percampuran kaum dalam kalangan kita dengan pelbagai budaya dan adat, dan kita mesti buat segala yang dapat untuk memelihara keunikan kita ini,” katanya.

“Saya percaya di Sabah, sijil daripada Tuai Raban Bansa (pemimpin komuniti orang asal) boleh diperolehi sebagai sokongan untuk mengiktiraf status anak hasil perkahwinan campur sebagai orang asal,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: