HALAMAN SANTAI

Selasa, 20 April 2021

DPP: Jho Low, 2 lagi 'macai' Najib, atur pindah wang SRC ke akaunnya

Low Taek Jho dan dua lagi individu adalah "macai" bekas perdana menteri Najib Razak yang membantu mengaturkan pemindahan dana SRC International ke akaun banknya, menurut timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram di Mahkamah Rayuan hari ini.

Sithambaram berkata demikian berhubung mengapa Jho Low dan dua lagi tidak dihadapkan pertuduhan bersama dengan Najib, dalam pendengaran rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman ke atasnya, di Mahkamah Rayuan hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pengerusi panel hakim Abdul Karim Abdul Jalil tentang mengapa Jho Low, bekas setiausaha sulit kanan Najib, Allahyarham Azlin Alias dan bekas CEO SRC Nik FAisal Ariff Kamil tidak didakwa bersama Najib dalam kes jenayah itu.

Karim membangkitkan kemungkinan ketiga-tiga individu itu bersubahat dengan Najib.

Bagaimanapun Sithambaram berkata hanya Najib yang didakwa kerana tiada "niat bersama" antara dia dengan tiga individu tersebut.

Dia menyifatkan mereka sebagai "macai" kepada Najib, yang mengikut arahan daripada bekas perdana menteri itu yang didakwa mempunyai kawalan "menyeluruh" terhadap SRC.

Selain merupakan bekas perdana menteri, Najib juga bekas menteri kewangan dan bekas penasihat emeritus SRC, yang merupakan milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

"Kes kami adalah tertuduh (Najib) membuat mereka melakukannya (mengaturkan pemindahan dana SRC ke akaun peribadi).

"Kami hanya kata anda (Najib) salah gunakan kedudukan dan sebagai pemegang saham (penuh dalam MKD), anda menjadi pengarah bayangan (SRC) dan dengan kedudukan itu, membuatkan 'macai' untuk melakukannya," katanya.

Sithambaram juga berkata, Interpol juga telah mengeluarkan notis merah untuk mengesan Jho Low dan Nik Faisal bagi membantu siasatan dalam kes itu.

Setakat ini, keberadaan dua individu itu belum dapat dikesan.

Penghujahan Sithambaram hari ini juga bagi membalas hujah pembelaan yang Najib "diperdaya" oleh Jho Low ketika wang berjumlah RM42 juta dimasukkan ke dalam akaunnya.

Kata Sithambaram, hujah yang mengatakan Jho Low menyalurkan wang ke akaun Najib untuk "memperdayakan" bekas perdana menteri itu adalah mengarut.

"Responden mengatakan yang mengarut apabila perayu (Najib) mengatakan tindakan Jho Low meletakkan dana ke dalam akaun peribadi perdana menteri negara, adalah untuk memperdaya perdana menteri agar percaya yang dia ada wang yang tidak dimilikinya.

"Tindakan menyalahkan Jho Low untuk menjamin perayu ada wang yang cukup dalam akaun peribadinya adalah mengarut," katanya.

Ketika perbicaraan di mahkamah tinggi sebelum ini, Najib alam keterangannya berkata Jho Low, Nik Faisal dan Azlin ditugaskan untuk menguruskan akaun-akaun banknya.

Pasuk peguam pula berkata mereka telah melakukan transaksi membabitkan akaun-akaun milik Najib tanpa pengetahuannya.

Tiada ulasan: