HALAMAN SANTAI

Ahad, 18 April 2021

Gelombang sokongan kepada PAS di DUN Ketari

HARAKAH DAILY

BERTEMPAT di Janda Baik, Bentong, PAS DUN Ketari giat mempersiapkan `pasukan kuda perang’ di Unit Daerah Mengundi (UDM) Janda Baik selama dua hari yang berakhir dengan program Ziarah Kasih sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Kampung Janda Baik mengikut sejarah panggilan asal orang kampung adalah sebuah kampung rizab Melayu. Ia dilingkari Banjaran Titiwangsa menjadi `kegilaan’ hartawan khususnya di sekitar Lembah Klang membeli tanah dan membina `istana hinggap’ ataupun menetap terus di sini.

Kampung ekopelancongan tanah tinggi ini terbahagi kepada empat buah kampung tradisional Melayu iaitu Kampung Sum Sum, Cheringin, Chemperoh, Kampung Janda Baik dan Kampung Orang Asli Semelai.

Berdasarkan maklum balas diterima ketika program ziarah berlangsung, penduduk rata-rata mudah memberi kerjasama dan berharap agar ziarah sebegini dapat diatur secara kerap agar perlahan-lahan terbuka hati untuk `kenal dan jatuh cinta’ kepada PAS.

Memetik luahan hati seorang penduduk yang lebih dikenali sebagai `Mat Letrik’, beliau dan ahli keluarganya bersedia menyokong PAS.

“Jika PAS sudi bantu kami, kami boleh sokong PAS tapi jangan nanti bila kami sokong PAS, bila PAS menang PAS lupa kat kami,” begitu luahan dan harapan tulus beliau.

As-Sabiqun PAS Bentong, Rahmat Kaman turut memberi penilaian untuk petugas PAS lebih mengenal dan memahami akan cara fikir dan kehidupan masyarakat penduduk di situ.

“Selama hampir dua tahun saya menetap di sini, saya perati betul-betul, orang Kampung Janda Baik ni lain sikit. Mereka dah selesa dengan cara mereka. Dari dulu macam tulah. PAS kena banyak sabar jika nak berdakwah dengan mereka,” jelasnya.

PAS Bentong juga cukup bertuah apabila berkesempatan bertemu dan menziarahi `sahabat lama’ seorang tokoh akademik dan ahli bahasa yang tidak asing lagi iaitu Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan. Juga isterinya, Ainon Mohd seorang usahawan, penulis dan pengasas syarikat PTS Media Group Sdn Bhd yang sudah berpuluh tahun menetap di Janda Baik.

Ketika diminta mengulas mengenai gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), ahli PAS seumur hidup ini berkata bahawa beliau tidak mengikuti rapat perkembangan politik semasa tetapi tahu perkara yang berlaku.

“Kita ini PAS, Umno dan BERSATU gabungan tiga parti Melayu yang sepatutnya bersatu atas dasar agama. Islam itu ejen nombor satu penyatuan, adapun bangsa tempat kedua.

“Sesebuah parti politik perlu ada falsafah dalam perjuangan, nampak hala tuju mereka nak pergi, jelas apa yang tak boleh dan boleh diubah atas dasar kerjasama, itu bagus.

“Tetapi jika kita tak jelas falsafah dan hala tuju itu, rakyat akan terpinga-pinga serta tertanya-tanya, ‘sebenarnya apa?’,” ulas Prof Abdullah yang kelihatan uzur tapi untaian kata-kata seorang munsyi bahasa masih kekal halus dan `membekas’.

Celah Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah, PAS adalah pendamai bagi meredakan sebarang ketegangan yang berlaku antara parti-parti `bersaudara’ ini. Di mana agenda penyatuan ini masih terus diusahakan kerana kemenangan hanya boleh dicapai jika kita semua bersatu padu, petiknya dari nasihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ziarah kasih itu tambah sempurna dengan kehadiran seorang tokoh wartawan berasal dari negeri bandaraya bersejarah tetapi menetap di Janda Baik kerana bersemenda dengan orang di sini dan kini berkhidmat sebagai Bendahari PAS Melaka, Md Yassim Musa.

Program dua dalam satu iaitu rehlah dan ziarah jentera PAS DUN Ketari turut dihadiri Pengarah Jentera Pilihanraya Kawasan (JPrK), Jamali Raib, wakil Pemuda dan Muslimat dibantu Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan PAS Cawangan.

Dengan motto, ‘Islam Di Hati, Sejahtera Ketari, Tak Kenal Tak Cinta, Dah Kenal Undi Kita’, Setiausaha Jabatan Pilihanraya DUN Ketari (JPrd), Sahir Abd Rahman dalam ucapan penutupnya menjelaskan, program sebegini adalah program ‘regular’ dan akan diadakan secara berterusan di semua UDM DUN Ketari dalam misi memenangkan PAS DUN Ketari pada PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: