HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Kalau semua dok bantai kerajaan, pelabur tak berani masuk – Shahidan

MG189042021_DATUKSHAHIDANPRIMA_07
Pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, bercakap ketika di temubual oleh media di majlis berbuka puasa pengerusi PR1MA bersama media di Pusat Dagangan Dunia,Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID,

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar memberi pandangan positif kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memulihkan ekonomi dan membantu menarik pelabur asing ke negara ini.

Menurut Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, pandangan positif itu mampu menjadikan kerajaan sedia ada bertambah baik, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.

“Saya minta bekas bos saya dan kawan baik saya Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beri pandangan positif kepada kerajaan dan mengambil daya usaha bersama untuk menarik pelabur.

“Sebab dia bekas Perdana Menteri, sudah pasti hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara. Jadi bagi sumbangan yang boleh menggalakkan supaya pelabur datang,” katanya pada sidang media di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib hari ini yang melahirkan rasa hairan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam Kerajaan PN yang dikritik gagal menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan baik sehingga wujud gerakan tanda pagar #kerajaangagal.

Najib juga mengakui beliau segan untuk memberi komen tentang hashtag #kerajaangagal, walaupun beliau juga tak faham kenapa sehingga hari ini UMNO dan BN masih mahu berkait dengan kerajaan yang gagal.

Sebaliknya Shahidan menyindir desakan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas mahu menggantikan kerajaan baharu, sedangkan tiada kerajaan yang mampu menguruskan Covid-19 dan ekonomi.

“Kita kena ingat kalau kita nak ganti kerajaan baharu, kerajaan mana yang kita rasa hebat yang boleh menguruskan benda ini. Pada pandangan saya kerajaan buat dengan baik (urus Covid-19 dan ekonomi).

“Kalau semua dok bantai kerajaan, pelabur tak berani masuklah. Pelabur nak masuk macam mana kalau kita (nak) ganti kerajaan baharu, kerajaan siapa mampu menghadapi masalah yang kita hadapi,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini bukan waktu yang sesuai untuk mengubah kerajaan dan Kerajaan PN telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia sama ada Covid-19 mahupun memulihkan ekonomi.

“Untuk tarik pelabur, bekas-bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib, Tun (Abdullah) Pak Lah tak sihat, supaya mereka memberi pandangan positif kepada kerajaan dan menggalakkan pelabur masuk.

“Kalau kita bagi pandangan yang tak positif kepada kerajaan, pelabur pun tak boleh masuk, sebab kita bekas pemimpin hebat negara, bagi pandangan yang positif.

“Semua pihak jangan menuding jari kepada kerajaan, semua pihak kena cari jalan untuk bantu kerajaan. Kerajaan pula patut ambil pandangan lebih positif daripada Datuk Seri Najib, beliau kena bagi pandangan positif.

Tindakan mendesak untuk menukar kerajaan tidak akan membantu untuk memulihkan ekonomi negara malah pertukaran kerajaan hanya melambatkan usaha mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur.

“Kehebatan kita macam mana sekalipun kita kena ingat, kita kena tengok suasana, suasana sekarang ini memerlukan semua pihak bagi pandangan yang positif

“Kerajaan pun kena terima pandangan daripada pelbagai pihak dan mesti menampakkan kestabilan politik, bila politik stabil baru pelabur masuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: