HALAMAN SANTAI

Isnin, 19 April 2021

Kerajaan bantah kumpulan pemuda mohon mahkamah paksa laksana Undi18

Sekumpulan 18 pemuda memohon mahkamah membatalkan keputusan kerajaan 
tidak melaksanakan pindaan Undi18 menjelang Julai.

KUALA LUMPUR: Kerajaan membantah tindakan sekumpulan pemuda memohon kepada mahkamah supaya memaksanya melaksanakan pindaan Perlembagaan yang membolehkan rakyat berusia 18 tahun didaftarkan sebagai pemilih dan mengundi dalam pilihan raya.

Peguam Gurdial Singh Nijar, mewakili 18 pemuda tersebut, beritahu Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid, bahawa pihaknya pagi tadi perolehi hujah daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah semakan kehakiman itu.

“Kami perlu jawab beberapa perkara yang ditimbulkan, maka kami memohon tarikh lain daripada mahkamah untuk mendengar permohonan kami (memaksa kerajaan laksana Undi18),” katanya.

Kamal menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan semakan kehakiman daripada kumpulan pemuda berkenaan, mengatakan kes ini berkepentingan awam.

“Hujah mesti diserahkan menjelang Selasa (4 Mei),” katanya.

Peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad, tampil mewakili kerajaan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang dinamakan sebagai responden.

Shamsul beritahu pemberita sebab AGC membantah cabaran kumpulan pemuda itu kerana permohonan tersebut pra-matang.

“Pada ketika ini, Perlembagaan sudah dipinda bagi membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi dan menjadi calon pilihan raya. Bagaimanapun, undang-undang dan peraturan pilihan raya masih menyatakan ’21 tahun’,” katanya.

Shamsul berkata undang-undang dan peraturan pilihan raya perlu dipinda agar selaras pindaan pada Perlembagaan itu.

Kumpulan pemuda itu memohon mahkamah membatalkan keputusan kerajaan tidak melaksanakan pindaan Undi18 menjelang Julai.

Mereka mendakwa keputusan untuk menangguhkan penguatkuasaannya tidak munasabah kerana ia menafikan hak mereka sebagai pengundi menjelang bulan itu.

Tiada ulasan: