HALAMAN SANTAI

Rabu, 21 April 2021

Kerajaan PN gagal beri gambaran sebenar kesan darurat kepada rakyat – Tun M

MGF_20042021_TAMAT-DARURAT_10
Reaksi Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk penyerahan memorandum tamat darurat di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi gambaran sebenar kesan pelaksanaan proklamasi darurat kepada rakyat khususnya orang Melayu.

Beliau tidak menolak kemungkinan orang Melayu mula bangkit menentang menentang pemerintah kerana mereka sekarang menderita akibat pelaksanaan darurat.

“Kerajaan tidak menyampaikan maklumat yang cukup kepada Yang Dipertuan Agong kerana segala-galanya diletakkan di bahu Agong, apa juga tindakan dikatakan atas arahan Agong.

“Sebab itu rakyat sekarang ini tidak seperti biasa, mereka berasa tidak senang dengan keadaan ini, biasanya orang Melayu tidak menderhaka kepada Raja.

“Tapi sekarang ini kita terpaksa sampaikan kepada Setiausaha Sulit Agong iaitu orang Melayu sekarang ini mula rasa marah kepada Raja-Raja.

“Kemarahan itu kita dapat ikuti dalam media sosial, ini bukan perkara biasa kepada orang Melayu untuk melawan pemimpin mereka,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Pintu 3, Istana Negara, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat, Khalid Abdul Samad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan memorandum  menamatkan darurat kepada Setiausaha Sulit Kanan Agong, Kolonel Nazim Mohd Alim.

Ia merupakan surat kedua yang dihantar jawatankuasa itu kepada Yang Dipertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda untuk menerima petisyen rayuan menamatkan darurat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mendakwa sebilangan besar orang Melayu sekarang ini amat marah terhadap Raja-Raja Melayu kerana Proklamasi Darurat hanya menyebabkan mereka menderita.

“Saya ingat kerajaan tidak memaklumkan kepada Agong tentang perasaan orang Melayu khasnya dan mungkin sebilangan besar orang Melayu sangat marah dan lebih mengkritik pemerintah kerana apa yang berlaku di sini.

“Semuanya dijalankan adalah atas arahan Agong, ini yang termaktub dalam gazet. Sesiapa yang kritik arahan kerajaan dianggap derhaka dan boleh dianggap hasutan terhadap pemerintah,” katanya.

Katanya lagi, jika YDPA tidak menamatkan darurat, ia hanya akan menambahkan kemarahan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu dan kerajaan PN.

“Ini luar biasa, tapi saya fikir ini penting kepada pemerintah iaitu Agong kalau tidak mereka akan lakukan sesuatu menambah kemarahan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: