HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 April 2021

Mahkamah Persekutuan tetapkan keputusan rayuan bekas staf MB S’gor Isnin ini

MALAYSIAKINI

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung rayuan bekas staf mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disaman oleh Selangor Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk mendapatkan semula pembayaran pampasan yang dikatakan dibuat tanpa kebenaran, Isnin ini.

New Sin Yew, salah seorang daripada peguam yang mewakili bekas staf berkenaan, dan peguam Edwin Lim yang mewakili MBI, ketika dihubungi mengesahakn keputusan mengenai rayuan itu ditetapkan pada Isnin.

New berkata keputusan itu akan disampaikan menerusi aplikasi Zoom.

Pada 6 Jan lepas, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf menangguhkan keputusan mahkamah selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Pada 2018 bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Hussin dan bekas ketua pegawai operasi Rohany Talib diperintahkan Mahkamah Rayuan pada 2018 untuk memulangkan RM1.219 juta kepada MBI yang dibayar kepada mereka.

MBI turut menamakan lima lagi bekas pegawai sebagai reponden dalam samannya tetapi Mahkamah Rayuan tidak mengeluarkan sebarang perintah ke atas mereka.

Mereka terdiri daripada Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Ketujuh-tujuh mereka yang juga diwakili peguam Edmund Bon Tai Soon dan New Sin Yew membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 2017 Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bayaran pampasan kepada ketujuh-tujuh mereka adalah sah.

Namun Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menyatakan keputusan dibuat Menteri Besar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi MBI perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Pada 11 Mei 2015, MBI memfailkan saman itu dan menuntut semula wang yang dibayar kepada mereka melalui skim pemberhentian secara sukarela (VSS) pada 2014.- Bernama

Tiada ulasan: