HALAMAN SANTAI

Selasa, 13 April 2021

Peguam Najib diarah selesai hujah kes SRC esok

Peguam berkata kes penyalahgunaan kuasa oleh Najib Razak tidak dapat 
dibuktikan kerana ganjaran RM42 juta itu tidak segera dimasukkan ke dalam 
akaun banknya.

PUTRAJAYA: Peguam Najib Razak diberitahu untuk menyelesaikan pusingan pertama penghujahan mereka esok berhubung rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Ketua panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Karim Abdul Jalil, berkata mereka sudah melebihi masa diperuntukkan yang sepatutnya diselesaikan minggu lalu.

“Anda harus menepati janji. Hanya tekankan perkara utama,” katanya ketika peguam Farhan Read memberitahu hakim, dia memerlukan sehingga tengah hari esok untuk menyelesaikan penghujahan.

Hakim kemudian bersetuju membenarkan Farhan mengambil masa hingga 3 petang esok untuk menyelesaikan penghujahannya. Pendakwaan akan bermula pada Rabu.

Minggu lalu, Abdul Karim turut mengingatkan peguam Harvinderjit Singh, yang juga anggota pasukan perundangan Najib, untuk berhenti mengulang perkara sama ketika penghujahan.

Hakim yang turut disertai Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, berkata akan ada dua waktu rehat pada 11 pagi dan 1 tengah hari sebelum prosiding berakhir pada 3 petang kerana Ramadan dijangka bermula esok.

Perbicaraan ditetapkan selama 12 hari dari 5 hingga 22 April dengan empat hari diperuntukkan kepada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Kedua-dua pihak diberi masa dua hari untuk membuat penghujahan pusingan terakhir.

Terdahulu, Farhan mengemukakan bahawa dakwaan penyalahgunaan kuasa ke atas Najib tidak dapat bertahan kerana bawah Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, ganjaran perlu bersifat segera.

Katanya, Najib mempengerusikan dua mesyuarat Kabinet pada 2011 dan 2012 untuk meluluskan dua jaminan kerajaan bagi SRC memperoleh pinjaman RM4 bilion dari dana persaraan kerajaan.

Peguam itu berkata, pemberian ganjaran hanya berlaku antara Disember 2014 dan Februari 2015 apabila RM42 juta dikatakan dimasukkan ke dalam akaun banknya.

“Adalah tidak adil bagi hakim perbicaraan menuntut pembelaan atas penyalahgunaan kuasa ketika ganjaran itu tidak bersifat segera,” katanya.

Farhan berkata, Najib tidak mempunyai kepentingan dalam SRC ketika jaminan kerajaan diluluskan.

Beliau berkata, walaupun Najib juga adalah menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC, dia tidak mengawal syarikat yang diletakkan bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan itu.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

Dia turut berdepan tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkait RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah membabitkan RM42 juta milik SRC International.

Tiada ulasan: