HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 April 2021

Pemimpin DAP, akar umbi tegaskan parti 'untuk semua'

Malaysiakini

Gambar yang beredar di media sosial semalam memaparkan akar umbi dan pemimpin DAP termasuk pemimpin veteran parti Lim Kit Siang dan setiausaha agung Lim Guan Eng memegang plakad bertulis "DAP adalah untuk kita semua" menimbulkan persoalan beberapa pihak.

Gambar-gambar tersebut mengundang spekulasi yang mempersoalkan sama ada ia adalah 'flashmob' yang diadakan susulan perselisihan antara pemimpin DAP.

"DAP adalah untuk kita semua," kata Adun Kinrara Ng Sze Han dalam hantaran di Twitter semalam yang disertakan dua gambar berkumpulan yang memaparkan pemimpin dan ahli parti memegang plakad berkenaan.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, Ng berkata ia bukan 'flashmob' atau perhimpunan.

"Ini hanya pertemuan biasa antara pemimpin dan ahli akar umbi. Pemimpin (parti) buat jelajah untuk bertemu akar umbi.

"Kami ketika itu makan tengah hari di Shah Alam semalam, dan ia direncana sejak seminggu yang lalu. Kami juga merayakan ulang tahun ke-80 Kit Siang dan perayaan Vaisakhi," kata Ng kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim juga kelihatan dalam gambar tersebut.

Ng, yang juga bendahari DAP Selangor, berkata Kit Siang, Guan Eng dan Gobind sempat menyentuh mengenai identiti parti itu sebagai parti berbilang kaum dan bahawa parti itu tidak tergolong dalam satu etnik tertentu.

"Kemudian, kami memutuskan untuk mengambil gambar berkumpulan di luar restoran," katanya.

Sementara itu, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau, mengatakan jamuan makan tengah hari itu dianjurkan oleh jawatankuasa perhubungan Parlimen Kota Raja dan meraih kehadiran 70 ahli dari 17 cawangan di Selangor.

"Saya tidak mahu sentuh mengenai perselisihan di mana orang tertentu mengatakan (identiti DAP) harus dipertahankan atau harus dibuka kepada semua orang. DAP yang saya sertai adalah parti untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Ganabatirau berkata, plakad itu disediakan oleh ketua jawatankuasa perhubungan parlimen Kota Raja, V Pappa Raidu "untuk menunjukkan bahawa tidak ada seorang pun (bangsa) yang lebih unggul berbanding yang lain dalam parti dan parti itu mewakili semua orang".

"Plakad itu sebagai respons terhadap kenyataan di media sosial, di mana beberapa pihak menyifatkan DAP sebagai parti cauvinis Cina, sebuah parti yang hanya menolong orang Cina.

"Semasa kami makan tengah hari, Raidu membawa (plakad) dari pejabat berdekatan. Oleh kerana para pemimpin dan anggota ada di sana, jadi mengapa tidak kami menunjukkan sokongan kami kepada kepemimpinan," katanya.

Ganabatirau, yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa penghubung parlimen Kota Raja, mengatakan bahawa akar umbi ingin memberikan sokongan mereka di tengah-tengah gerakan yang didakwa mahu Kit Siang 'berehat'.

Konflik dalam DAP hadir ketika parti itu bersiap sedia untuk pemilihan kongres nasionalnya dan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) pada bulan Jun.

Anggota jawatankuasa pusat DAP, Ronnie Liu sebelum ini dikritik oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kerana mendesak parti itu untuk tidak "mencairkan kecinaannya".

Tiada ulasan: