INDERA MAHKOTA: Jentera Pilihan Raya PAS DUN (JPrD)
Beserah telah menjayakan program ‘Genggam DUN Semambu PRU15’ yang
diadakan dalam DUN Semambu berpusat di Taman Chenderawasih, di sini
semalam.
Gerak kerja bersasar yang menjadi sebahagian persediaan PRU15
ini telah membahagikan petugas kepada usaha mengesan para pengundi
baharu di samping menyantuni pengundi sedia ada di dalam DUN ini.
Timbalan
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Andansura Rabu berkata, program ini
menunjukkan semangat muafakat yang sudah begitu sinonim dalam rutin para
petugas PAS di mana terlebih dahulu dilaksanakan di DUN Beserah minggu
lalu.
“Program turun membantu ke DUN Semambu hari ini adalah program yang meminta petugas dan jentera kita dari kedua-dua DUN bersedia dan menjejak pengundi.
“Serta mencari peluang untuk menerangkan pasal perjuangan dan meminta sokongan mereka kepada parti PAS. Kita kerahkan petugas pembantu dari DUN Beserah sebab, yang pertama untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada jentera di Semambu.
“Yang kedua, DUN Semambu memang kekurangan petugas parti, jadi bagi mempercepatkan proses dan penyelesaian kerja maka kita kena bantu tunjuk ajar gerak kerja di lapangan supaya sama-sama boleh memperkemaskan jentera di DUN masing-masing,” ujarnya yang juga ADUN Beserah.
Manakala Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Parlimen Indera Mahkota, Salbiah Seeni Abdul berharap keluangan masa itu sebagai solidariti untuk sama-sama memenangi DUN Semambu dalam PRU15 yang akan datang.
Salah seorang petugas dari DUN Beserah, Nur Solehah Shah dengan penuh semangat menceritakan pengalaman mereka menjejaki pengundi di tiga penempatan yang berlainan di sekitar Bukit Setongkol.
Katanya, mengikut penduduk yang ditemui, mereka sekian lama tidak menerima kunjungan seumpama ini dari mana-mana pihak dan menunjukkan keterujaan menerima kunjungan daripada Muslimat PAS.
Menurutnya, walaupun keadaan sedikit mencabar kerana tidak arif selok belok DUN Semambu yang luas, namun mereka seronok dan berpuas hati dapat membantu petugas setempat mengenal pasti pengundi yang tidak dapat dikesan selama ini.
Situasi kegigihan itu diakui sendiri oleh salah seorang petugas As-Sabiqat DUN Semambu yang turut serta, Saadiah Ibrahim di mana DUN ini mempunyai 11 unit pusat pengundi dengan kapasiti lebih kurang 40,342 orang pemilih. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:
Catat Ulasan