PKR akan mengemukakan surat tuntutan bagi menuntut Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar membayar RM10 juta setelah bertindak keluar daripada parti itu bulan lepas.
Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata surat berkenaan akan diserahkan oleh peguam parti itu kepada Xavier esok dan bekas naib presiden PKR tersebut diberi masa sehingga tujuh hari untuk menyelesaikannya.
"Sesiapa yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti mereka perlu menerima akibat, mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti dipersetujui,” katanya.
Lee yang juga Adun Semambu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Indera Mahkota 2020 di sini hari ini.
Pada 13 Mac lepas, Xavier mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai Naib Presiden dan ahli PKR selain menyokong blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Lee yang juga ketua cabang Indera Mahkota berkata mesyuarat hari ini akan mengemukakan dua usul iaitu menolak sebarang kerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selain calon PRU15 cabang itu harus terdiri daripada penduduk tempatan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan