Timbalan
Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menyampaikan bantuan kepada
para pemandu teksi di pekarangan Mart Kempas hari ini.
JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee
Tse tidak menolak kemungkinan untuk bertanding Parlimen Tebrau pada
PRU-15 selepas penyandangnya, Steven Choong Shiau Yoon melompat parti
Februari lalu.
Jimmy Puah yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Bukit Batu berkata, perkara itu telah dicadangkan beberapa
ahli PKR Johor.
Bagaimanapun,ia masih belum dimuktamadkan.
“Memang ada cadanganlah tapi saya kata
kepada mereka itu bukan keputusan saya dan terpulang kepada pucuk
pimpinan parti untuk menentukannya.
“Kalau parti rasa ada keperluan dan sesuai
untuk letak saya pergi (bertanding) kerusi pengkhianat iaitu di Parlimen
Tebrau, saya tak boleh tolak, saya akan ikut sahaja arahan,” katanya
selepas menyerahkan bantuan kepada para pemandu teksi di pekarangan Mart
Kempas hari ini.
Pada 28 Februari lalu, Shiau Yoon
menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus meninggalkan PKR.
Terdahulu, Ahli Parlimen Segamat, Datuk
Seri Dr Santhara Kumar mengisytiharkan keluar PKR pada 24 Februari tahun
lalu dan mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
pada 6 Ogos lalu.
PKR Johor memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU-14 di Johor selain Shiau Yoon dan Dr Santhara.
Selain itu, ADUN Pemanis, Dr Chong Fat Full
turut melompat parti serta menyatakan sokongan kepada kerajaan PN Johor
pada 4 Mac tahun lalu.
Mengulas lanjut, Jimmy Puah berkata,
menerusi lawatannya ke PKR Cabang Tebrau, parti itu masih mendapat 99
peratus sokongan akar umbi dan yakin PKR akan dapat mempertahankan
kerusi tersebut pada PRU-15.
Beliau mendakwa, tindakan Shiau Yoon tidak
memberi kesan besar terhadap cabang berkenaan kerana hanya tiga atau
empat ahli parti yang bertindak mengikut langkahnya untuk keluar parti.
Pihaknya juga sudah melawat PKR Cabang
Segamat dan Sekijang baru-baru ini sekali gus melantik penyelaras khas
di daerah tersebut dan calon-calon untuk bertanding di kerusi Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu akan diumum dalam masa
terdekat.
Selain itu katanya, PKR Johor akan menambah
jumlah bilangan kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRU-15 dan
perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan bersama parti komponen
PH Johor.
“PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) DAP di
negeri ini akan berbincang pengagihan 18 kerusi DUN yang sebelum ini
ditandingi Bersatu pada PRU-14. Kerusi ini akan dibahagi mengikut
kesesuaian dan faktor tertentu termasuk PKR akan menempatkan calonnya
di pantai timur Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan